Khamis, 1 Mac 2012

Paradoks ( Entiti 11 - Maria )


     

     Tiga minggu lepas, Maria telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan hasil perkongsian hidup selama tiga tahun bersama arwah suaminya, Kamil. Kamil terlibat dalam satu kemalangan ngeri lima bulan lepas. Kereta yang dipandunya dirempuh oleh sebuah lori pasir dari arah bertentangan. Semenjak hari itu, Maria sentiasa murung dan tidak bertegur sapa dengan orang lain, kecuali ibu dan bapanya sahaja. Anak yang dilahirkannya juga tidak pernah disentuh dan anaknya itu kini dijaga oleh ibunya.

     Adakalanya Maria dilihat seperti sedang berbual-bual dengan seseorang walaupun pada masa itu dia sedang bersendirian. Daripada perbualannya, ianya seolah-olah dia sedang berbual dengan Kamil. Ibu dan bapanya hanya mampu memerhatikannya kerana bimbang Maria akan mengamuk jika dia diganggu. Bapa Maria, Pak Mat pernah dipukul dengan penyapu oleh Maria kerana mengarahkan Maria masuk ke dalam rumah, sedangkan pada masa itu Maria sedang berbual dengan seseorang di serambi rumah. Maria juga pernah mengamuk sewaktu makan malam, apabila ditanya oleh ibunya, Maria menjawab Kamil tidak lagi datang untuk berbual dengannya. Habis semua lauk pauk disepahkan pada malam itu.

     Beberapa hari yang lepas, Maria meminta izin untuk mendukung anaknya. Ibunya, Mak Esah, memberikan keizinan kerana menyangkakan anaknya itu sudah pulih. Sebaik sahaja anaknya berada di dalam pangkuan, Maria terus berlari masuk ke dalam bilik dan menghempas anaknya ke atas katil sebelum muka bayi malang itu ditekup dengan bantal. Mujurlah Mak Esah bertindak pantas dan menyelamatkan bayi tersebut. Maria terus keluar daripada rumah dan melarikan diri ke arah pantai. Pak Mat meminta bantuan penduduk kampung untuk mencari anaknya dan pencarian tersebut berterusan sehingga lewat tengah malam. Salah seorang penduduk kampung berjaya menemui Maria. Maria ditemui keletihan dan tertidur di dalam sebuah rumah yang sudah lama ditinggalkan.

     Kali ini, Pak Mat terpaksa mengurung Maria di dalam bilik. Maria hanya dilepaskan jika dia ingin ke tandas atau makan, itupun dengan pemerhatian rapi daripada Pak Mat & Mak Esah. Maria pernah cuba untuk melepaskan diri, tetapi gagal kerana pintu utama telah dikunci oleh Pak Mat pada masa itu. Ada yang pernah mencadangkan kepada Pak Mat supaya menghantar Maria ke hospital untuk mendapatkan rawatan, tetapi memandangkan Maria adalah satu-satunya anak yang dia ada, dia agak keberatan untuk melepaskannya pergi. Dia ingin menjaga sendiri anaknya kerana dia merasakan cara tersebut lebih berkesan. Bagi Pak Mat, Maria mungkin dapat pulih jika berada berdekatan dengan keluarganya.

     Bermula daripada hari itu, Maria sering menangis pada waktu malam sehinggakan Pak Mat & Mak Esah buntu, tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Tangisan Maria menakutkan kanak-kanak yang melalui hadapan rumahnya untuk pergi mengaji, dan mereka terpaksa ditemani oleh ibu bapa masing-masing.

     Sewaktu Mak Esah membuka pintu bilik Maria, Maria menolak pintu biliknya dengan kuat sehingga Mak Esah terjatuh. Maria terus merempuh pintu utama rumah dan terus melarikan diri. Pada masa itu, Pak Mat tiada di rumah kerana menghadiri kenduri doa selamat di rumah sahabatnya, Pak Ali. Mak Esah menggagahkan diri sambil mendukung cucunya untuk ke rumah Pak Ali dan memaklumkan perkara tersebut kepada suaminya. Sebaik sahaja sampai di rumah Pak Ali, para tetamu sudah mula untuk pulang. Pak Ali terus meminta bantuan kepada para tetamunya untuk membantu Pak Mat mencari Maria. Sementara itu, Mak Esah dibawa ke hospital untuk merawat luka pada kepalanya. Kepala Mak Esah terhantuk pada pintu bilik, sewaktu Maria menolaknya tadi.

     Pencarian dilakukan di serata kampung, termasuk kawasan perkuburan, kawasan pantai dan kawasan hutan berhampiran. Mereka terus mencari sehingga jam sudah menunjukkan pukul 5 pagi. Sewaktu melalui sebuah jeti yang sudah lama ditinggalkan, Pak Mat tergerak untuk memasuki kawasan tersebut. Pak Mat diikuti oleh beberapa orang pemuda kerana mungkin ada ancaman tersembunyi di kawasan itu, memandangkan ianya sudah lama ditinggalkan. Mereka terus mencari di kawasan benteng berhampiran dengan jeti tersebut. Hati Pak Mat sebak sebaik sahaja melihat sekujur tubuh terapung-apung di tepi benteng tersebut dan adakalanya dihempas beberapa kali ke batuan besar yang terdapat di benteng tersebut.

     Para pemuda yang mengikuti Pak Mat mula menuruni benteng dan mendapatkan sekujur tubuh yang sudah tidak bergerak-gerak lagi. Sebaik sahaja diletakkan di atas rumput, jelas kelihatan yang ianya adalah Maria. Muka & tubuhnya dipenuhi kesan lebam dan luka yang teruk, mungkin kesan hempasan ombak ke batu besar di benteng itu. Pihak polis dihubungi dan mereka datang ke tempat kejadian bersama-sama dengan sebuah ambulans. Maria disahkan telah meninggal dunia. Mak Esah yang pulang daripada hospital terus ke tempat kejadian dan tidak dapat menyembunyikan kesedihannya sebaik sahaja melihat anaknya, Maria, kini telah meninggalkannya buat selama-lamanya. Keesokkan harinya, Maria dikebumikan bersebelahan dengan kubur suaminya.