Rabu, 11 April 2012

Paradoks ( Entiti 12 - Kisah Kampung Tengah )




     Kampung Tengah merupakan sebuah perkampungan kecil yang terletak di salah sebuah negeri di pantai timur dan ianya cukup digeruni kerana kisah-kisah misteri yang mengganggu para penduduknya. Ramai yang pernah menceritakan yang mereka pernah terserempak dengan hantu di kampung tersebut dan daripada cerita-cerita yang disampaikan, terdapat tiga jenis hantu atau gangguan yang selalu mengganggu para penduduk kampung tersebut, iaitu:-

1. Lembaga Tanpa Kepala.

     Lembaga tanpa kepala ini sering dilihat merayau-rayau di sekitar kampung seolah-olah mencari sesuatu. Berdasarkan cerita-cerita yang disampaikan oleh orang-orang tua di kampung tersebut, pernah satu ketika dahulu, terjadinya satu kemalangan ngeri di jalan utama di kampung tersebut. Salah seorang penduduk kampung yang dikenali sebagai Said, mati di tempat kejadian apabila kepalanya hancur digilis oleh sebuah bas.

     Said bekerja sebagai seorang tukang kayu di kampung sebelah dan tinggal di Kampung Tengah bersama isteri dan dua orang. Beberapa minggu selepas kejadian tersebut, isteri dan anak-anaknya berpindah ke kampung lain dan rumah mereka di kampung tersebut ditinggalkan kosong.

     Penduduk kampung percaya yang lembaga tanpa kepala itu adalah Said dan sebab utama ianya merayau-rayau sekitar kampung, mungkin ia sedang mencari keluarganya. Rumah yang ditinggalkan oleh keluarganya turut ditinggalkan kosong kerana beberapa penyewa rumah tersebut pernah terserempak lembaga tanpa kepala tersebut di hadapan pintu rumah. Malah, ada yang pernah terserempak dengannya di dalam rumah.

     Lembaga tanpa kepala ini dikatakan hilang begitu sahaja dan tiada lagi gangguan daripanya selepas itu.

2. Gadis Berkebaya Biru.

     Gadis berkebaya biru ini sama sahaja seperti Lembaga tanpa kepala yang diceritakan sebelum ini, suka merayau-rayau di sekitar kampung, bezanya, gadis berkebaya biru ini, selalu menegur penduduk kampung yang ditemuinya. Seorang penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Amat pernah ditegur oleh gadis tersebut.

     Jam pada masa itu menunjukkan pukul 3 pagi & Amat baru sahaja pulang daripada perjalanan jauh, menghantar barang tempahan pelanggan ke Perlis. Sebaik sahaja sampai di rumah, dia membuat keputusan untuk membersihkan lorinya kerana awal pagi esok dia harus bergegas ke tempat lain pula. Semasa membersihkan lorinya, Amat ditegur oleh seorang gadis. Gadis tersebut bertanyakan alamat rumah seseorang kepadanya, tanpa melihat ke arah gadis tersebut, Amat mengatakan yang rumah tersebut sudah lama ditinggalkan dan akan dirobohkan untuk tujuan pembinaan sebuah balai raya.

     Secara tiba-tiba, Amat terdengar suara tangisan gadis tersebut dan apabila berpaling ke arah gadis tersebut, Amat begitu terkejut kerana yang berdiri di hadapannya adalah seorang gadis berwajah pucat dan memakai kebaya berwarna biru. Amat terus berlari masuk ke dalam rumahnya dan hanya keluar daripada rumahnya pada tengah hari keesokannya.

     Suatu masa dulu, seorang gadis ditemui mati tergantung pada sebatang pokok, dan dia dikatakan membunuh diri selepas cintanya ditolak oleh seorang jejaka yang tinggal di kampung bersebelahan. Mengenai kebaya berwarna biru, itulah yang dipakainya sewaktu ditemui tergantung.

3. Penunggu Pokok Kapas.

     Penunggu berupa seorang wanita berpakaian putih ini dikatakan sebagai yang paling berani kerana pokok kapas yang dihuninya terletak berhampiran dengan surau di kampung tersebut. Lembaga ini akan melarikan diri ke atas bumbung rumah berdekatan apabila azan dilaungkan dan akan kembali semula ke pokok kapas tersebut sebaik sahaja azan selesai.

     Lembaga ini sering mengganggu mereka-mereka yang melintasi pokok kapas tersebut dan penduduk kampung tiada pilihan lain selain daripada terpaksa melalui jalan tersebut kerana jalan tersebut merupakan jalan utama di kampung itu.

     Apabila berada di atas bumbung rumah penduduk kampung, lembaga ini akan membuat bising dan penghuni rumah yang dihinggapnya itu merasakan seolah-olah ada orang sedang berlari dan melompat di atas bumbung rumah mereka.

     Penduduk kampung yang bermotosikal sering merasakan yang seolah-olah ada pembonceng di belakang mereka walaupun mereka bersendirian sebaik sahaja melalui kawasan pokok kapas tersebut. Begitu juga dengan mereka yang memandu kereta, akan ada yang menumpang kereta mereka. Penumpang misteri tersebut akan hilang sebaik sahaja kenderaan mereka berada di hadapan surau, tetapi untuk mereka yang datang dari arah bertentangan, adakalanya penumpang misteri tersebut akan mengikuti mereka sampai ke rumah.

     Kini, gangguan-gangguan di atas semakin berkurangan, lembaga tanpa kepala & gadis berkebaya biru tidak lagi kelihatan, manakala penunggu pokok kapas berjaya ditangkap oleh sekumpulan Ustaz & pokok kapas tersebut sudahpun ditebang. Walaubagaimanapun, ada penduduk kampung mengatakan yang mereka pernah terserempak dengan pocong apabila melintasi kawasan kebun pisang yang terletak bersebelahan dengan kawasan tanah perkuburan. Namun ianya tidak dapat dipastikan kebenarannya kerana bilangan penduduk yang pernah terserempak dengannya agak sedikit.

     Begitu juga dengan sekumpulan anjing yang akan menyalak dengan kuat semasa azan sedang berkumandang di surau dan yang anehnya penduduk kampung tidak pernah melihat kelibat walau seekor pun anjing di kampung tersebut. Walaubagaimanapun, sekarang ini, penduduk kampung lebih tertekan dengan kemunculan mat-mat rempit di kampung mereka memandangkan jalan di kampung tersebut memang sesuai untuk berlumba dan pihak polis juga jarang masuk meronda ke kampung. Bagi penduduk kampung, mat-mat rempit ini lebih teruk daripada hantu dan ada dikalangan mereka lebih suka jika hantu-hantu yang pernah menghuni kampung mereka, kembali semula dan “menjaga” kampung mereka.