Khamis, 9 Ogos 2012

Paradoks ( Entiti 13 - Amuk )




     Din merupakan seorang budak kampung yang disenangi ramai. Dia selalu membantu penduduk kampung membersihkan kebun-kebun dan menjaga haiwan ternakan mereka. Din tinggal bersama ibu-bapanya yang sudah tua dan sudah menjadi tanggungjawab dia untuk menjaga mereka. Sebab itu la dia sanggup melakukan apa jua jenis pekerjaan, untuk melengkapkan keperluan ibu-bapanya.

     Din juga digelar sebagai pemuda contoh di kampungnya dan ianya mengakibatkan dia tidak disenangi oleh Dali & Rahmat, dua orang pemuda bermasalah di kampung tersebut. Mereka mula membuat rancangan untuk mengenakan Din. Sebelum ini mereka pernah cuba untuk mengenakan Din, tetapi perangkap mereka tidak mengenai sasaran. Kali ini mereka menggunakan seorang gadis, konon-kononnya gadis tersebut ingin bertanyakan arah sesebuah tempat. Sewaktu Din sedang menunjukkan arah tempat yang ingin ditujui oleh gadis tersebut, dia dipukul daripada arah belakang.

     Keesokkan harinya, ketukan demi ketukan pada pintu rumah mengejutkan Din daripada tidur dan lebih memeranjatkannya lagi, disebelahnya ada seorang gadis yang masih tidur. Disebabkan tiada jawapan, pintu rumah dipecahkan dan beberapa orang penduduk kampung meluru masuk ke dalam rumah tersebut. Dali & Rahmat turut ada bersama mereka. Dali, Rahmat dan beberapa orang lagi cuba untuk membelasah Din, tetapi berjaya dihalang oleh Ketua Kampung, Haji Razali. Din & gadis tersebut di bawa ke Balai Raya dan ibu-bapa Din juga dipanggil untuk menyelesaikan perkara tersebut. Bapa kepada Din, iaitu Pak Said rebah apabila mengetahui akan perbuatan anaknya dan dia disahkan meninggal dunia tak lama selepas itu. Haji Razali mengarahkan supaya Din menikahi gadis yang ditangkap bersamanya, tetapi gadis tersebut hilang beberapa hari selepas itu.

     Din kini menjadi bahan kutukan penduduk kampung. Mereka seolah-olah lupa yang Din banyak membantu mereka sebelum ini. Ibunya juga turut menjadi bahan kutukan penduduk kampung. Malah, Din juga dijadikan sebagai suspek untuk beberapa kes kecurian di kampung tersebut. Keadaan Din yang kini tidak memiliki sebarang pekerjaan menguatkan lagi tuduhan mereka kerana, bagi mereka Din akan lakukan apa sahaja untuk mendapatkan duit. Nasib Din baik kerana mereka tidak mempunyai bukti kukuh untuk menuduhnya. Hidup Din bertambah susah apabila ibunya ditemui terapung di sungai kampung mereka. Ibunya disahkan meninggal dunia dan hasil siasatan menunjukkan yang dia membunuh diri dengan terjun ke dalam sungai tersebut, yang sememangnya pernah meragut beberapa nyawa sebelum ini. Din kini tinggal keseorangan.

     Semasa pulang daripada solat Isyak berjamaah di surau, Din mendapati yang penduduk kampung masih tetap menghina dirinya dan tekanan yang diterima olehnya mengakibatkan dia bertindak di luar kawalan. Din pulang ke rumah dan mengambil sesuatu dari dapur dan menyembunyikannya ke dalam baju. Din terus ke pondok tempat Dali & Rahmat selalu berehat. Din mendapat tahu mengenai perangkap yang dipasang oleh mereka itu daripada perbualan beberapa orang pemuda kampung yang juga kawan kepada mereka. Sebaik sahaja sampai ke destinasi, Din mendapati Rahmat sedang nyenyak tidur dan dia perlahan-lahan masuk ke dalam pondok tersebut. Din mengejutkan Rahmat dan sebaik sahaja Rahmat terjaga, Din terus menikam leher Rahmat dengan parang yang dibawanya. Rahmat menggelupur kesakitan dan memaksa Din untuk terus menikam-nikam tubuh Rahmat sehingga Rahmat sudah tidak bernyawa lagi.

     Din terdengar bunyi orang bersiul dan dia terus bersembunyi di belakang pintu pondok tersebut. Orang tersebut ialah Dali, yang terus meluru masuk ke dalam pondok tersebut sebaik sahaja melihat tubuh Rahmat berlumuran dengan darah. Din keluar daripada persembunyian dan terus menikam bahagian belakang Dali beberapa kali sehingga Dali rebah di sebelah Rahmat. Din meninggalkan pondok tersebut dan kelihatannya beliau masih belum puas. Beberapa meter daripada pondok tersebut, terdapat sebuah rumah. Din mengetuk pintu rumah tersebut dan sebaik sahaja pintu dibuka, Din terus menendang pintu tersebut. Din terus melibas parangnya ke arah seorang lelaki dan membunuh lelaki tersebut. Isteri lelaki tersebut cuba untuk melarikan diri, tetapi berjaya ditahan oleh Din dan terus merodok perut wanita tersebut dengan parangnya. Din masuk ke dalam sebuah bilik dan terdapat 3 orang kanak-kanak sedang tidur. Semuanya dibunuh, tanpa belas kasihan.

     Sasaran seterusnya, rumah Makcik Siti. Makcik Siti adalah orang yang paling lantang menghina Din dan ibunya. Din ternampak Makcik Siti sedang menyidai kain di ampaian dan Din terus mengekori dia sebaik sahaja dia masuk ke dalam rumah dan terus melibaskan parang ke bahagian lehernya. Kepala Makcik Siti jatuh berhampiran dengan dua orang anak gadisnya yang sedang leka menonton televisyen. Anak-anak gadisnya turut menerima nasib yang sama, kepala mereka turut dipenggal oleh Din. Sementara itu, suami Makcik Siti yang baru sahaja keluar daripada tandas, cuba untuk melarikan diri melalui pintu belakang. Semasa dia cuba untuk mengambil kunci pintu tersebut, tangan beliau ditetak oleh Din sehingga putus. Din mengheret suami Makcik Siti ke ruang tamu sebelum menikamnya berulang kali sehingga mati. Din terus ke rumah yang berhadapan dengan rumah Makcik Siti.

     Keadaan rumah yang sudah gelap menyebabkan Din mengumpil pintu rumah dengan parang dan berjaya memasuki rumah tersebut. Dia masuk ke dalam bilik tidur utama dan terus menikam sepasang suami isteri yang sedang nyenyak tidur. Apabila mendapati bilik kedua kosong, Din terus meninggalkan rumah tersebut. Rumah seterusnya masih diterangi lampu dan kedengaran seperti ada suara tangisan bayi. Rumah tersebut dihuni oleh sepasang suami isteri yang baru sahaja dikurniakan cahaya mata beberapa hari sebelumnya. Din hanya melintasi rumah tersebut, seolah-olah ada sesuatu yang menghalangnya daripada memasuki rumah tersebut dan terus ke rumah bersebelahan dengannya. Seorang pemuda yang sedang menghisap rokok di beranda rumah terus ditetak bertubi-tubi pada bahagian kepala sehingga hancur. Beberapa orang penghuni rumah tersebut yang menyaksikan kejadian tersebut terus menjerit meminta tolong. Akan tetapi, ianya tidak menghalang Din untuk terus mara ke arah mereka dan membunuh mereka semua. Selepas itu, Din membakar rumah tersebut dan terus melarikan diri melalui pintu belakang.

     Orang ramai mula memenuhi kawasan rumah tersebut yang sedang marak dijilat api. Mereka cuba untuk memadamnya, tetapi gagal kerana angin pada malam tersebut agak kuat. Seorang penduduk kampung dapat mengesan sesuatu berhampiran dengan rumah tersebut dan apabila diperhatikan, ianya adalah tompokan darah. Sebaik sahaja pihak bomba datang untuk memadamkan kebakaran, sebahagian daripada penduduk kampung yang berada di kawasan tersebut memilih untuk memeriksa rumah-rumah berdekatan dan pada masa itulah mereka menemui mangsa-mangsa kekejaman Din. Mereka terus menghubungi pihak polis.

     Din terus ke rumah lain pula. Rumah tersebut dihuni oleh tiga orang gadis dan semuanya dibunuh oleh Din. Din ke rumah bersebelahan dengannya, rumah Haji Razali, Ketua Kampung. Din terus meluru masuk ke dalam rumah tersebut dan menikam isteri Haji Razali, Mak Besah yang sedang menonton televisyen. Haji Razali merayu kepada Din untuk tidak membunuhnya dan pada masa itulah beberapa org penduduk kampung sampai di hadapan rumah tersebut, Haji Razali terus menjerit meminta tolong dan sepantas kilat juga la, parang Din memisahkan kepala dengan tubuh Haji Razali. Beberapa orang penduduk kampung tadi meluru masuk ke dalam rumah dan dirempuh oleh Din yang cuba melarikan diri. Din terus menghilangkan diri dalam kepekatan malam.

     Menjelang waktu pagi, pihak polis mula memenuhi kampung tersebut. Mereka mencari Din di merata-rata tempat termasuklah di rumahnya dan di sungai tempat ibunya ditemui mati. Usaha mencari diteruskan ke kawasan tanah perkuburan yang agak terpencil daripada kawasan rumah penduduk. Din ditemui sedang berehat di sebelah kubur ibunya dan sebaik sahaja melihat kelibat polis, dia terus cuba untuk melarikan diri. Namun begitu, kawasan tersebut sudah dikepung dan dia tiada tempat lagi untuk melarikan diri. Seorang anggota polis menghampirinya dan cuba untuk menenangkannya, teapi Din terus mengangkat parangnya dan cuba untuk menetak anggota polis tersebut. Satu das tembakan dilepaskan daripada bahagian tepi dan mengenai rusuk kanan Din. Din terus melibas parangnya ke arah anggota polis tersebut dan berjaya mengenai bahagian dadanya beberapa kali. Beberapa das tembakan dilepaskan oleh anggota polis yang lain dan berjaya untuk merebahkan Din.

     Din dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan, namun segala-galanya sudah terlambat, Din menghembuskan nafasnya yang terakhir sebaik sahaja ambulans memasuki kawasan hospital. Berita mengenai kejadian tersebut mula tersebar ke seluruh tempat dan kampung tersebut mula dikunjungi oleh orang ramai. Ada yang sekadar ingin melihat keadaan sekitar dan ada juga yang datang dengan niat yang tidak baik. Penduduk-penduduk kampung pun sudah ada yang berhijrah ke tempat lain, untuk melupakan peristiwa berdarah tersebut.