Din merupakan seorang budak kampung yang disenangi ramai.
Dia selalu membantu penduduk kampung membersihkan kebun-kebun dan menjaga
haiwan ternakan mereka. Din tinggal bersama ibu-bapanya yang sudah tua dan
sudah menjadi tanggungjawab dia untuk menjaga mereka. Sebab itu la dia sanggup
melakukan apa jua jenis pekerjaan, untuk melengkapkan keperluan ibu-bapanya.
Din juga digelar
sebagai pemuda contoh di kampungnya dan ianya mengakibatkan dia tidak disenangi
oleh Dali & Rahmat, dua orang pemuda bermasalah di kampung tersebut. Mereka
mula membuat rancangan untuk mengenakan Din. Sebelum ini mereka pernah cuba
untuk mengenakan Din, tetapi perangkap mereka tidak mengenai sasaran. Kali ini
mereka menggunakan seorang gadis, konon-kononnya gadis tersebut ingin
bertanyakan arah sesebuah tempat. Sewaktu Din sedang menunjukkan arah tempat
yang ingin ditujui oleh gadis tersebut, dia dipukul daripada arah belakang.
Keesokkan
harinya, ketukan demi ketukan pada pintu rumah mengejutkan Din daripada tidur
dan lebih memeranjatkannya lagi, disebelahnya ada seorang gadis yang masih
tidur. Disebabkan tiada jawapan, pintu rumah dipecahkan dan beberapa orang
penduduk kampung meluru masuk ke dalam rumah tersebut. Dali & Rahmat turut
ada bersama mereka. Dali, Rahmat dan beberapa orang lagi cuba untuk membelasah Din, tetapi
berjaya dihalang oleh Ketua Kampung, Haji Razali. Din & gadis tersebut di
bawa ke Balai Raya dan ibu-bapa Din juga dipanggil untuk menyelesaikan perkara
tersebut. Bapa kepada Din, iaitu Pak Said rebah apabila mengetahui akan
perbuatan anaknya dan dia disahkan meninggal dunia tak lama selepas itu. Haji
Razali mengarahkan supaya Din menikahi gadis yang ditangkap bersamanya, tetapi
gadis tersebut hilang beberapa hari selepas itu.
Din kini menjadi
bahan kutukan penduduk kampung. Mereka seolah-olah lupa yang Din banyak
membantu mereka sebelum ini. Ibunya juga turut menjadi bahan kutukan penduduk
kampung. Malah, Din juga dijadikan sebagai suspek untuk beberapa kes kecurian di
kampung tersebut. Keadaan Din yang kini tidak memiliki sebarang pekerjaan
menguatkan lagi tuduhan mereka kerana, bagi mereka Din akan lakukan apa sahaja
untuk mendapatkan duit. Nasib Din baik kerana mereka tidak mempunyai bukti
kukuh untuk menuduhnya. Hidup Din bertambah susah apabila ibunya ditemui
terapung di sungai kampung mereka. Ibunya disahkan meninggal dunia dan hasil
siasatan menunjukkan yang dia membunuh diri dengan terjun ke dalam sungai
tersebut, yang sememangnya pernah meragut beberapa nyawa sebelum ini. Din kini
tinggal keseorangan.
Semasa pulang
daripada solat Isyak berjamaah di surau, Din mendapati yang penduduk kampung
masih tetap menghina dirinya dan tekanan yang diterima olehnya mengakibatkan
dia bertindak di luar kawalan. Din pulang ke rumah dan mengambil sesuatu dari
dapur dan menyembunyikannya ke dalam baju. Din terus ke pondok tempat Dali
& Rahmat selalu berehat. Din mendapat tahu mengenai perangkap yang dipasang
oleh mereka itu daripada perbualan beberapa orang pemuda kampung yang juga
kawan kepada mereka. Sebaik sahaja sampai ke destinasi, Din mendapati Rahmat
sedang nyenyak tidur dan dia perlahan-lahan masuk ke dalam pondok tersebut. Din
mengejutkan Rahmat dan sebaik sahaja Rahmat terjaga, Din terus menikam leher
Rahmat dengan parang yang dibawanya. Rahmat menggelupur kesakitan dan memaksa
Din untuk terus menikam-nikam tubuh Rahmat sehingga Rahmat sudah tidak bernyawa
lagi.
Din terdengar
bunyi orang bersiul dan dia terus bersembunyi di belakang pintu pondok
tersebut. Orang tersebut ialah Dali, yang terus meluru masuk ke dalam pondok
tersebut sebaik sahaja melihat tubuh Rahmat berlumuran dengan darah. Din keluar
daripada persembunyian dan terus menikam bahagian belakang Dali beberapa kali
sehingga Dali rebah di sebelah Rahmat. Din meninggalkan pondok tersebut dan
kelihatannya beliau masih belum puas. Beberapa meter daripada pondok tersebut,
terdapat sebuah rumah. Din mengetuk pintu rumah tersebut dan sebaik sahaja
pintu dibuka, Din terus menendang pintu tersebut. Din terus melibas parangnya
ke arah seorang lelaki dan membunuh lelaki tersebut. Isteri lelaki tersebut cuba
untuk melarikan diri, tetapi berjaya ditahan oleh Din dan terus merodok perut
wanita tersebut dengan parangnya. Din masuk ke dalam sebuah bilik dan terdapat
3 orang kanak-kanak sedang tidur. Semuanya dibunuh, tanpa belas kasihan.
Sasaran
seterusnya, rumah Makcik Siti. Makcik Siti adalah orang yang paling lantang
menghina Din dan ibunya. Din ternampak Makcik Siti sedang menyidai kain di
ampaian dan Din terus mengekori dia sebaik sahaja dia masuk ke dalam rumah dan
terus melibaskan parang ke bahagian lehernya. Kepala Makcik Siti jatuh
berhampiran dengan dua orang anak gadisnya yang sedang leka menonton
televisyen. Anak-anak gadisnya turut menerima nasib yang sama, kepala mereka
turut dipenggal oleh Din. Sementara itu, suami Makcik Siti yang baru sahaja
keluar daripada tandas, cuba
untuk melarikan diri melalui pintu belakang. Semasa dia cuba untuk mengambil kunci pintu
tersebut, tangan beliau ditetak oleh Din sehingga putus. Din mengheret suami
Makcik Siti ke ruang tamu sebelum menikamnya berulang kali sehingga mati. Din
terus ke rumah yang berhadapan dengan rumah Makcik Siti.
Keadaan rumah
yang sudah gelap menyebabkan Din mengumpil pintu rumah dengan parang dan
berjaya memasuki rumah tersebut. Dia masuk ke dalam bilik tidur utama dan terus
menikam sepasang suami isteri yang sedang nyenyak tidur. Apabila mendapati
bilik kedua kosong, Din terus meninggalkan rumah tersebut. Rumah seterusnya
masih diterangi lampu dan kedengaran seperti ada suara tangisan bayi. Rumah
tersebut dihuni oleh sepasang suami isteri yang baru sahaja dikurniakan cahaya
mata beberapa hari sebelumnya. Din hanya melintasi rumah tersebut, seolah-olah
ada sesuatu yang menghalangnya daripada memasuki rumah tersebut dan terus ke
rumah bersebelahan dengannya. Seorang pemuda yang sedang menghisap rokok di
beranda rumah terus ditetak bertubi-tubi pada bahagian kepala sehingga hancur.
Beberapa orang penghuni rumah tersebut yang menyaksikan kejadian tersebut terus
menjerit meminta tolong. Akan tetapi, ianya tidak menghalang Din untuk terus
mara ke arah mereka dan membunuh mereka semua. Selepas itu, Din membakar rumah
tersebut dan terus melarikan diri melalui pintu belakang.
Orang ramai mula
memenuhi kawasan rumah tersebut yang sedang marak dijilat api. Mereka cuba
untuk memadamnya, tetapi gagal kerana angin pada malam tersebut agak kuat.
Seorang penduduk kampung dapat mengesan sesuatu berhampiran dengan rumah
tersebut dan apabila diperhatikan, ianya adalah tompokan darah. Sebaik sahaja
pihak bomba datang untuk memadamkan kebakaran, sebahagian daripada penduduk
kampung yang berada di kawasan tersebut memilih untuk memeriksa rumah-rumah
berdekatan dan pada masa itulah mereka menemui mangsa-mangsa kekejaman Din.
Mereka terus menghubungi pihak polis.
Din terus ke
rumah lain pula. Rumah tersebut dihuni oleh tiga orang gadis dan semuanya
dibunuh oleh Din. Din ke rumah bersebelahan dengannya, rumah Haji Razali, Ketua
Kampung. Din terus meluru masuk ke dalam rumah tersebut dan menikam isteri Haji
Razali, Mak Besah yang sedang menonton televisyen. Haji Razali merayu kepada
Din untuk tidak membunuhnya dan pada masa itulah beberapa org penduduk kampung
sampai di hadapan rumah tersebut, Haji Razali terus menjerit meminta tolong dan
sepantas kilat juga la, parang Din memisahkan kepala dengan tubuh Haji Razali.
Beberapa orang penduduk kampung tadi meluru masuk ke dalam rumah dan dirempuh
oleh Din yang cuba
melarikan diri. Din terus menghilangkan diri dalam kepekatan malam.
Menjelang waktu
pagi, pihak polis mula memenuhi kampung tersebut. Mereka mencari Din di
merata-rata tempat termasuklah di rumahnya dan di sungai tempat ibunya ditemui
mati. Usaha mencari diteruskan ke kawasan tanah perkuburan yang agak terpencil
daripada kawasan rumah penduduk. Din ditemui sedang berehat di sebelah kubur
ibunya dan sebaik sahaja melihat kelibat polis, dia terus cuba untuk melarikan diri. Namun
begitu, kawasan tersebut sudah dikepung dan dia tiada tempat lagi untuk melarikan
diri. Seorang anggota polis menghampirinya dan cuba
untuk menenangkannya, teapi Din terus mengangkat parangnya dan cuba
untuk menetak anggota polis tersebut. Satu das tembakan dilepaskan daripada
bahagian tepi dan mengenai rusuk kanan Din. Din terus melibas parangnya ke arah
anggota polis tersebut dan berjaya mengenai bahagian dadanya beberapa kali.
Beberapa das tembakan dilepaskan oleh anggota polis yang lain dan berjaya untuk
merebahkan Din.
Din dikejarkan ke
hospital untuk mendapatkan rawatan, namun segala-galanya sudah terlambat, Din
menghembuskan nafasnya yang terakhir sebaik sahaja ambulans memasuki kawasan
hospital. Berita mengenai kejadian tersebut mula tersebar ke seluruh tempat dan
kampung tersebut mula dikunjungi oleh orang ramai. Ada yang sekadar ingin melihat keadaan
sekitar dan ada juga yang datang dengan niat yang tidak baik. Penduduk-penduduk
kampung pun sudah ada yang berhijrah ke tempat lain, untuk melupakan peristiwa
berdarah tersebut.