Jika dilihat daripada segi luaran, Psycho Circus sama sahaja
seperti kumpulan sarkas yang lain, tetapi apa yang berada di sebaliknya cukup
menggerunkan dan mungkin tiada siapa yang berani untuk menghadiri pertunjukkan
mereka jika mereka tahu mengenainya. Begitu juga dengan Steve, Steve tiada
pilihan lain selain daripada bekerja dengan Psycho Circus kerana tiada
kelulusan yang tinggi. Sebelum ini pun, beliau hanya bekerja sebagai seorang
pembantu kedai, tetapi dipecat kerana didapati mencuri sejumlah wang daripada
mesin tunai. Nasibnya baik, kerana majikan lamanya tidak membuat laporan polis,
beliau cuma tidak diberikan gaji terakhir dan dilarang menjejakkan kaki ke
premis tersebut lagi selepas pemecatannya.
Steve tidak
diberikan kerja khusus untuk beliau, sebaliknya beliau diminta untuk memantau
keadaan di belakang pentas. Kerja yang cukup berat untuk orang seperti Steve,
kerana inilah kali pertama beliau bekerja di sarkas. Pekerja-pekerja di Psycho
Circus pula diminta untuk mengenakan topeng setiap kali melakukan persembahan
dan diberikan nama-nama samaran untuk menyembunyikan identiti sebenar mereka. Sewaktu
melintasi bilik persalinan untuk para penghibur, beliau disapa oleh Chang,
seorang akrobat muda di Psycho Circus. Chang menyarankan kepada Steve supaya
berhati-hati dan tidak merayau-rayau di tempat yang tidak sepatutnya, untuk
mengelakkan daripada terkena sumpahan. Steve bertanyakan mengenainya tetapi
Chang enggan menjelaskannya dengan lebih lanjut dan memilih untuk meninggalkan Steve
sebaik sahaja beliau ternampak Sheena yang sedang memerhatikan daripada jauh. Sheena
merupakan salah seorang pelatih haiwan-haiwan untuk pertunjukkan di Psycho
Circus.
Sheena menuju ke
arah Steve dan memberitahunya yang Chang memang suka menakutkan pekerja baru
sehingga ada yang berhenti kerja walaupun baru sehari bekerja dan sebab itulah
Psycho Circus sentiasa kekurangan pekerja. Mungkin Chang rasa terancam dengan
kehadiran pekerja baru yang mungkin akan merampas kedudukannya suatu hari
nanti. Sheena memperkenalkan Steve dengan pekerja-pekerja Psycho Circus yang
lain. Selain daripada Chang & Sheena, Psycho Circus turut menjadi tempat
mencari rezeki untuk Hoang, Oro, Smith, Pyro, Chris, Ivan, Udo, Cammy &
Ying. Seorang lagi ialah Rob, orang yang bertanggungjawab mengambil Steve
bekerja dengan Psycho Circus dan dianggap sebagai ketua di Psycho Circus.
Menjadi kebiasaan
untuk setiap kumpulan sarkas ke sana
ke mari untuk menghiburkan orang ramai. Namun ianya tidak membebankan para
pekerja di Psycho Circus kerana mereka semua ada satu persamaan, iaitu, mereka
semua hidup sebatang kara, tiada ahli keluarga yang lain. Salah seorang
daripada dua belas orang pekerja di Psycho Circus adalah pemilik dan
pengurusnya sendiri, tetapi identiti sebenar beliau tidak diketahui. Begitu
juga dengan para pekerja, mereka tidak mengetahui yang salah seorang daripada
mereka adalah pengurus mereka. Tambahan pula, pekerja-pekerja Psycho Circus
sentiasa bertukar untuk suatu jangkamasa tertentu, yang kekal hanyalah
pengurusnya sahaja.
Psycho Circus
menerima jemputan untuk mengadakan persembahan di sebuah sekolah. Jemputan
hanya dihantar melalui surat
sahaja dan tiada pertemuan dibuat dengan wakil pihak yang menjemput mereka. Rombongan
Psycho Circus terus ke alamat yang diberikan bersama-sama dengan jemputan
tersebut. Pyro dipertanggungjawabkan untuk memandu sebuah lori besar yang
membawa mereka semua dan kelengkapan-kelengkapan persembahan mereka.
Persembahan kali ini adalah persembahan biasa sahaja, tidak melibatkan
haiwan-haiwan sarkas kerana bimbang terjadinya perkara-perkara yang tidak diingini
memandangkan ianya akan diadakan di sebuah sekolah. Sebaik sahaja sampai di
sampai di alamat yang diberikan, mereka kehairanan kerana tempat tersebut
kelihatan seperti sudah lama ditinggalkan. Kedudukannya juga agak terpencil. Chris
mencadangkan supaya mereka meninggalkan tempat tersebut, namu begitu, secara
tiba-tiba, mereka semua rasa mengantuk dan terus tetidur.
Steve adalah
orang pertama yang terjaga dan beliau terus mengejutkan rakan sekerjanya yang
lain. Namun begitu, Pyro & Smith tiada bersama-sama dengan mereka. Mereka
kini terkurung di dalam bangunan sekolah tersebut dan mula mencari jalan keluar
daripada bangunan tersebut. Tiba-tiba, Cammy menjerit dan mereka semua bergegas
mendapatkannya. Sebaik sahaja mereka sampai kepada Cammy, daripada cahaya bulan
yang menerangi bilik tersebut mereka mendapati yang Pyro tergantung pada kipas
siling dan Smith diikat pada sebuah kerusi dengan sebilah pisau terbenam pada
bahagian dadanya. Ivan mengambil pisau pada mayat Smith dan dengan dibantu oleh
Udo & Rob, mayat Pyro berjaya diturunkan. Mayat Pyro & Smith
ditinggalkan di bilik tersebut.
Mereka terus
berlegar-legar di dalam bangunan tersebut dan untuk memudahkan kerja untuk
mencari jalan keluar, mereka dibahagikan kepada empat kumpulan. Kumpulan 1,
Ying, Hoang & Cammy. Kumpulan 2, Udo, Ivan & Steve. Kumpulan 3, Chang, Rob
& Sheena. Kumpulan 4, Oro & Chris. Kesemua kumpulan bergerak ke arah
yang dibincangkan oleh mereka semua, kecuali Kumpulan 4 yang memilih untuk
menjaga mayat Pyro & Smith. Kumpulan 1 ditugaskan untuk memeriksa bahagian
kanan bangunan yang kelihatan seperti sebuah perpustakaan. Kesemua tingkap
dipaku kemas dengan kayu tebal dan agak mustahil untuk mereka melarikan diri.
Ying tiba-tiba hilang daripada pandangan Cammy & Hoang. Mereka
menjerit-jerit memanggil Ying tapi tiada balasan, sehinggalah Hoang terpandang
sekujur tubuh terbaring di atas sebuah meja. Apabila didekati, ianya adalah
Ying yang sudah tidak bernyawa lagi dengan kesan kelaran pada leher. Tiba-tiba,
Cammy ditarik ke belakang dan lehernya dijerut kuat dengan seutas dawai
sehingga beliau didapati sudah tidak bernyawa lagi. Hoang cuba untuk membantu, tetapi beliau
ternampak kelibat seseorang sedang meluru pantas ke arahnya dan terus merempuhnya.
Hoang bangun dan cuba
untuk melarikan diri, tetapi penyerang tersebut terus menikam bahagian
belakangnya dengan batang besi.
Tanpa mengetahui
apa yang terjadi kepada Kumpulan 1, Kumpulan 2 dan 3 meneruskan pencarian
mereka. Sementara itu, Kumpulan 4 memilih untuk membantu rakan-rakan mereka
mencari jalan keluar. Mereka menuju ke sebelah kanan, melalui perpustakaan
tadi, tetapi tidak tergerak untuk memeriksanya. Tiba-tiba Chris terdengar
seperti ada sesuatu yang jatuh dibelakangnya. Sebaik sahaja beliau berpaling ke
belakang, beliau dapati Oro kini sudah rebah menyembah bumi dan didapati sudah
tidak berkepala lagi. Tanpa berfikir panjang, Chris terus melarikan diri sambil
menjerit nama rakan-rakannya yang lain. Namun begitu, kaki Chris tersadung dan
terus rebah. Beliau cuba
untuk bangun tetapi gagal apabila seseorang telah menindih belakangnya. Chris
bergelut dengan individu tersebut tetapi pergelutan tersebut tak lama apabila
muncul seorang lagi dan menetak kepala Chris dengan sebilah kapak.
Sheena yang
sedang meninjau kawasan kafetaria seorang diri terkejut apabila bahunya ditepuk
daripada arah belakang dan ianya adalah Steve. Sheena menyatakan yang Chang
& Rob mengarahkannya untuk tinggal di kawasan kafetaria tersebut
memandangkan kawasan tersebut agak terang sementara mereka berdua memeriksa
kawasan yang lain. Steve pula, beliau ditinggalkan oleh Ivan dan Udo selepas
mereka terdengar jeritan Chris. Beliau jauh ketinggalan di belakang sehingga
beliau kehilangan jejak Ivan & Udo. Steve meninggalkan Sheena kerana beliau
perlu mencari Udo & Ivan.
Chang & Rob menemui Ivan terbaring di
atas lantai dan beliau sudah tidak bernyawa lagi. Rob memeriksa keadaan mayat
Ivan dan didapati yang Ivan telah ditikam pada bahagian perut. Chang tiba-tiba
melarikan diri dan membuatkan Rob terkejut dengan tindakannya. Apabila Rob
berpaling ke belakang, beliau terus dilibas dengan sebilah pedang dan kepalanya
terus terpisah daripada badan. Sebaik sahaja mendapati kerjanya sudah selesai,
individu misteri tersebut terus menuju ke arah Chang melarikan diri tadi.
Chang tiba di
kafetaria dan menceritakan kepada Sheena apa yang dilihatnya tadi. Kemudian,
mereka disertai oleh Udo. Mereka bertiga kemudiannya ketawa bersama-sama
sebelum Sheena mengeluarkan sepucuk pistol dan terus menembak Chang & Udo
pada bahagian dahi. Steve tiba di tempat kejadian dan terus bertanyakan Sheena
tentang apa yang dilihat olehnya. Sheena menyatakan yang beliau cuma melakukan
apa yang sepatutnya dilakukan dan ianya adalah sumpahan Psycho Circus. Sheena
mula menyebut nama rakan sekerjanya seorang demi seorang, dimulakan dengan
Pyro, kemudiannya, Smith, Ying, Cammy, Hoang, Oro, Chris, Ivan, Rob, Chang
& Udo. Sheena mengarahkan Steve supaya mengambil huruf pertama pada nama
mereka dan meminta Steve untuk menyusunnya menjadi perkataan. Ianya berbunyi
PSYCHO CIRCU.
Sheena
memberitahu Steve, sebab utama beliau diterima bekerja dengan Psycho Circus
adalah kerana nama beliau bermula dengan huruf S, begitu juga dengan namanya.
Sheena menunjukkan jalan keluar kepada Steve dan berkata, hanya seorang S
sahaja yang boleh melangkah keluar dan seorang lagi harus melengkapkan PSYCHO
CIRCU. Beliau berterima kasih kepada Chang & Udo kerana membantu beliau. Selain
itu, beliau juga memberitahu Steve yang beliau ialah pemilik dan pengurus
Psycho Circus. Belum sempat Steve berkata sesuatu, Sheena melepaskan tembakan
tepat ke dahinya dan Steve menjadi pelengkap kepada korban PSYCHO CIRCUS.
Beberapa tahun
selepas itu, Psycho Circus kembali untuk menghiburkan peminat-peminat mereka.
Seperti biasa, ianya kini diterajui oleh pekerja-pekerja baru. Kali ini tiba
giliran Pete, Yulia, Casey, Samantha, Ozzy, Hope, Uther, Sally, Chuck, Roger,
Suzan, Chase & Ingrid pula bekerja untuk Psycho Circus. Antara Sally, Suzan
dan Samantha, salah seorang daripadanya adalah Sheena yang kini muncul dengan
penampilan baru. Hanya Uther dan salah seorang daripada Casey, Chuck &
Chase sahaja yang mengenalinya.