Rabu, 1 Februari 2012

Paradoks ( Entiti 10 - Gagak )


     Usaha keras selama bertahun-tahun untuk mengumpul RM120,000 akhirnya berakhir begitu sahaja. Khairul sanggup lakukan apa jua jenis pekerjaan untuk mendapatkan wang sebanyak itu dan wang tersebut akan digunakan untuk menebus tanah pusaka milik keluarganya yang telah digadai oleh generasi sebelumnya, tapi malangnya, dia dirompak sebaik sahaja keluar daripada bank selepas mengeluarkan kesemuanya wang simpanannya. Dia bernasib baik kerana dirinya tidak diapa-apakan.

     Selepas membuat laporan polis, Khairul terus ke bank untuk meminta penangguhan daripada pihak bank. Pihak bank memberikannya tempoh selama enam bulan untuk menebus tanahnya & jika dia gagal berbuat sedemikian, tanahnya akan dilelong. Khairul menceritakannya kepada sahabatnya, Majid. Majid bukanlah orang senang, jadi dia tidak dapat membantu Khairul. Majid mengatakan yang dia kenal seseorang yang boleh membantu Khairul. Majid membawa Khairul ke rumah seorang lelaki tua, yang dikenali sebagai Pak Awang. Rumah Pak Awang sentiasa dikunjungi oleh mereka-mereka yang terdiri daripada kaki judi dan ingin menjadi cepat kaya.

     Khairul menceritakan apa yang berlaku kepada dirinya dan Pak Awang menyatakan kesudiannya untuk membantu. Pak Awang mengatakan kepada Khairul yang dia ada cara paling pantas untuk cepat kaya tetapi cara tersebut jarang digunakan kerana tidak ramai yang sanggup melakukannya. Caranya, Khairul perlu mendapatkan tiga ekor burung gagak hutan dan dibawa kepadanya. Khairul agak bertuah kerana dia mengenali seorang pemburu haram yang sentiasa keluar masuk hutan untuk mendapatkan bekalan haiwan liar dan dijual kepada restoran-restoran yang menghidangkan masakan eksotik.

     Dua hari selepas itu, seperti yang dijanjikan Khairul membawa tiga ekor burung gagak hutan ke rumah Pak Awang. Pak Awang mengambil seekor burung gagak hutan, dibacakan sedikit jampi serapah & kemudiannya kepala burung tersebut dipotong dan diletakkan ke dalam sebuah bekas. Dua ekor lagi turut menerima nasib yang sama. Khairul hanya memerhatikan apa sahaja yang dilakukan oleh Pak Awang. Pak Awang mencincang tubuh ketiga-tiga ekor burung gagak hutan tersebut dan digaulkan bersama-sama dengan kepala yang diasingkan tadi. Campuran tadi dimasukkan ke dalam sebuah bekas dan dibalut dengan kain hitam. Pak Awang mengarahkan Khairul untuk membawa bekas tersebut ke sebuah bukit yang terletak tidak jauh daripada rumahnya. Pak Awang juga memberikan Khairul sekeping kertas yang tertulis jampi serapah untuk dibacakan nanti. Khairul bertanyakan kepada Pak Awang, bolehkah dia membawa sahabatnya bersama. Pak Awang menyatakan, hanya orang yang berhajat sahaja boleh melakukannya. Khairul perlu melakukannya seorang diri.

     Tepat jam 12 tengah malam, Khairul bertolak ke bukit yang dimaksudkan oleh Pak Awang. Sebaik sahaja tiba di lokasi yang dituju, Khairul terus membacakan jampi serapah yang diberikan oleh Pak Awang. Cubaan pertama tidak memberikan hasil, Khairul terus membaca jampi serapah tersebut sekali lagi. Kali ini, Khairul merasakan yang dirinya diperhatikan. Dia juga dapat mendengar bunyi tapak kaki sesuatu sedang menuju ke arahnya. Ada juga bunyian seperti seseorang menyeret benda di atas tanah. Tak lama kemudian, Khairul dikelilingi oleh beberapa makhluk hodoh yang berbagai rupa. Ada yang seperti harimau, ada yang tanpa kepala & ada yang kelihatan seperti seekor mawas.

     Makhluk yang kelihatan seperti mawas itu bertanyakan kepada Khairul akan hajatnya berjumpa dengan mereka. Khairul menyatakan hajatnya seperti yang diajar oleh Pak Awang walaupun dia takut untuk bertentang mata dengan makhluk-makhluk yang mengelilinginya itu. Khairul meghulurkan bekas berisi bangkai gagak hitam kepada salah seekor makhluk yang kelihatan seperti seorang kanak-kanak berusia enam tahun. Susuk tubuhnya sama sahaja seperti kanak-kanak biasa, tetapi matanya berwarna merah & tubuhnya dibasahi dengan darah. Sebaik sahaja bekas tersebut bertukar tangan, makhluk-makhluk tersebut hilang dengan hanya sekelip mata. Khairul terus bergegas ke arah motosikalnya dan terus meninggalkan bukit tersebut. Dia terus pulang ke rumahnya tanpa singgah di mana-mana. Dia harus kembali ke bukit tersebut dalam masa seminggu untuk menamatkan perjanjiannya dengan makhluk-makhluk tersebut seperti yang diarahkan oleh Pak Awang.

     Empat hari selepas itu, Khairul terkejut apabila melihat baki wang simpanannya kini melebihi jumlah wang yang dikehendakinya. Keesokkan harinya, Khairul mengajak Majid untuk menemaninya ke bank dan mengeluarkan RM120,000 untuk menebus tanah pusaka keluarganya. Baki di dalam akaunnya masih banyak sehingga Khairul tidak tahu hendak dihabiskan untuk apa. Majid memberikan cadangan supaya, Khairul memberikan kepadanya RM100,000. Tanpa berfikir panjang, Khairul terus mengeluarkan RM100,000 dan diberikan kepada Majid. Baginya, itu bukan duitnya, jadi tak salah untuk dia memberikannya kepada orang lain. Lagipun, kalau bukan kerana Majid, dia tak mungkin akan mendapat wang tersebut.

     Hari keenam, Majid kini memandu sebuah kereta baru yang dibelinya dengan duit RM100,000 yang diberikan oleh Khairul. Majid mencadangkan kepada Khairul untuk membeli sebuah kereta, tetapi, bagi Khairul, dia lebih suka menunggang motosikal untuk pergi ke mana-mana, lagipun dia masih bujang. Kereta bukanlah keutamaan untuk dirinya pada masa itu. Khairul lebih suka menghabiskan duitnya dengan membeli apa sahaja yang diiginkannya selama ini. Khairul kini kelihatan seperti seorang lelaki kaya, dan mula melupakan arahan Pak Awang untuk menamatkan perjanjiannya dengan makhluk-makhluk tersebut.

    Hari kesembilan, Majid memaklumkan kepada Khairul yang Pak Awang ingin menemuinya, namun tidak diendahkan oleh Khairul. Majid mengatakan yang Pak Awang diserang oleh beberapa ekor makhluk yang terlibat dengan perjanjian yang dibuat oleh Khairul. Khairul menganggap ianya bukanlah masalahnya & Pak Awang perlu menyelesaikannya sendiri. Majid yang berang dengan tindakan Khairul itu, terus meluru masuk ke dalam keretanya dan terus meninggalkan perkarangan rumah Khairul. Namun begitu, sebaik sahaja keluar daripada sebuah persimpangan, keretanya dirempuh dengan kuat oleh sebuah lori pengangkut barang. Kereta tersebut berpusing-pusing sebelum meletup. Majid meninggal dunia di tempat kejadian.

     Khairul menganggap kemalangan tersebut disebabkan oleh kecuaian Majid sendiri & tidak berkaitan dengan perjanjiannya dengan makhluk-makhluk tersebut. Dia mungkin sudah lupa yang Majid menggunakan duit hasil perjanjiannya tersebut untuk membeli kereta tersebut. Keesokkan harinya, Khairul tergerak hati untuk mengunjungi rumah Pak Awang, namun tiada orang yang menyahut panggilannya. Khairul ternampak seorang pakcik melintas di hadapan rumah Pak Awang, lalu bertanyakan kepada Pakcik tersebut mengenainya. Pakcik tersebut memaklumkan yang Pak Awang telah meninggal dunia dua hari lepas. Mayat Pak Awang ditemui di hadapan rumahnya dalam keadaan seperti dirobek-robek oleh binatang liar. Organ-organ dalaman Pak Awang juga dikatakan hilang dan tidak dapat dikesan. Pakcik itu turut memaklumkan supaya Khairul segera meninggalkan kawasan tersebut sebaik sahaja waktu senja berlabuh, kerana kawasan tersebut akan dipenuhi dengan burung gagak.

     Mendengar sahaja perkataan burung gagak keluar daripada mulut Pakcik tersebut, Khairul terus menuju ke arah motosikalnya. Khairul lupa untuk mengucapkan terima kasih dan berpaling ke belakang untuk berterima kasih kepada pakcik tersebut, tetapi tiada sesiapa di situ. Yang kelihatan hanyalah beberapa ekor burung gagak sedang bertenggek di atas bumbung rumah Pak Awang. Khairul terus memecut motosikalnya meninggalkan kawasan tersebut. Dalam keadaan tersebut, barulah Khairul teringat, yang rumah Pak Awang agak terpencil daripada rumah penduduk-penduduk kampung yang lain, jadi agak mustahil untuk ada orang berjalan kaki melalui kawasan tersebut.

     Fikirannya terus melayang, tidak pasti apa yang perlu dilakukannya. Dia dapat merasakan yang dia sedang dikejar oleh sekumpulan burung gagak. Dia terus memecut motosikalnya. Tiba-tiba muncul sebuah bas dari arah bertentangan dan terus merempuhnya. Khairul jatuh terhempas ke atas jalan dengan keadaan cedera parah. Sebuah van tidak sempat untuk berhenti dan terus menggilis Khairul. Khairul meninggal dunia sejurus selepas itu. Sejak daripada hari itu, kawasan tempat kejadian sentiasa dipenuhi dengan burung gagak menjelang waktu senja, hinggalah ke Subuh hari.......