Isnin, 3 September 2012

Paradoks ( Entiti 14 - Psycho Circus )


     

     Jika dilihat daripada segi luaran, Psycho Circus sama sahaja seperti kumpulan sarkas yang lain, tetapi apa yang berada di sebaliknya cukup menggerunkan dan mungkin tiada siapa yang berani untuk menghadiri pertunjukkan mereka jika mereka tahu mengenainya. Begitu juga dengan Steve, Steve tiada pilihan lain selain daripada bekerja dengan Psycho Circus kerana tiada kelulusan yang tinggi. Sebelum ini pun, beliau hanya bekerja sebagai seorang pembantu kedai, tetapi dipecat kerana didapati mencuri sejumlah wang daripada mesin tunai. Nasibnya baik, kerana majikan lamanya tidak membuat laporan polis, beliau cuma tidak diberikan gaji terakhir dan dilarang menjejakkan kaki ke premis tersebut lagi selepas pemecatannya.

     Steve tidak diberikan kerja khusus untuk beliau, sebaliknya beliau diminta untuk memantau keadaan di belakang pentas. Kerja yang cukup berat untuk orang seperti Steve, kerana inilah kali pertama beliau bekerja di sarkas. Pekerja-pekerja di Psycho Circus pula diminta untuk mengenakan topeng setiap kali melakukan persembahan dan diberikan nama-nama samaran untuk menyembunyikan identiti sebenar mereka. Sewaktu melintasi bilik persalinan untuk para penghibur, beliau disapa oleh Chang, seorang akrobat muda di Psycho Circus. Chang menyarankan kepada Steve supaya berhati-hati dan tidak merayau-rayau di tempat yang tidak sepatutnya, untuk mengelakkan daripada terkena sumpahan. Steve bertanyakan mengenainya tetapi Chang enggan menjelaskannya dengan lebih lanjut dan memilih untuk meninggalkan Steve sebaik sahaja beliau ternampak Sheena yang sedang memerhatikan daripada jauh. Sheena merupakan salah seorang pelatih haiwan-haiwan untuk pertunjukkan di Psycho Circus.

     Sheena menuju ke arah Steve dan memberitahunya yang Chang memang suka menakutkan pekerja baru sehingga ada yang berhenti kerja walaupun baru sehari bekerja dan sebab itulah Psycho Circus sentiasa kekurangan pekerja. Mungkin Chang rasa terancam dengan kehadiran pekerja baru yang mungkin akan merampas kedudukannya suatu hari nanti. Sheena memperkenalkan Steve dengan pekerja-pekerja Psycho Circus yang lain. Selain daripada Chang & Sheena, Psycho Circus turut menjadi tempat mencari rezeki untuk Hoang, Oro, Smith, Pyro, Chris, Ivan, Udo, Cammy & Ying. Seorang lagi ialah Rob, orang yang bertanggungjawab mengambil Steve bekerja dengan Psycho Circus dan dianggap sebagai ketua di Psycho Circus.

     Menjadi kebiasaan untuk setiap kumpulan sarkas ke sana ke mari untuk menghiburkan orang ramai. Namun ianya tidak membebankan para pekerja di Psycho Circus kerana mereka semua ada satu persamaan, iaitu, mereka semua hidup sebatang kara, tiada ahli keluarga yang lain. Salah seorang daripada dua belas orang pekerja di Psycho Circus adalah pemilik dan pengurusnya sendiri, tetapi identiti sebenar beliau tidak diketahui. Begitu juga dengan para pekerja, mereka tidak mengetahui yang salah seorang daripada mereka adalah pengurus mereka. Tambahan pula, pekerja-pekerja Psycho Circus sentiasa bertukar untuk suatu jangkamasa tertentu, yang kekal hanyalah pengurusnya sahaja.

     Psycho Circus menerima jemputan untuk mengadakan persembahan di sebuah sekolah. Jemputan hanya dihantar melalui surat sahaja dan tiada pertemuan dibuat dengan wakil pihak yang menjemput mereka. Rombongan Psycho Circus terus ke alamat yang diberikan bersama-sama dengan jemputan tersebut. Pyro dipertanggungjawabkan untuk memandu sebuah lori besar yang membawa mereka semua dan kelengkapan-kelengkapan persembahan mereka. Persembahan kali ini adalah persembahan biasa sahaja, tidak melibatkan haiwan-haiwan sarkas kerana bimbang terjadinya perkara-perkara yang tidak diingini memandangkan ianya akan diadakan di sebuah sekolah. Sebaik sahaja sampai di sampai di alamat yang diberikan, mereka kehairanan kerana tempat tersebut kelihatan seperti sudah lama ditinggalkan. Kedudukannya juga agak terpencil. Chris mencadangkan supaya mereka meninggalkan tempat tersebut, namu begitu, secara tiba-tiba, mereka semua rasa mengantuk dan terus tetidur.

     Steve adalah orang pertama yang terjaga dan beliau terus mengejutkan rakan sekerjanya yang lain. Namun begitu, Pyro & Smith tiada bersama-sama dengan mereka. Mereka kini terkurung di dalam bangunan sekolah tersebut dan mula mencari jalan keluar daripada bangunan tersebut. Tiba-tiba, Cammy menjerit dan mereka semua bergegas mendapatkannya. Sebaik sahaja mereka sampai kepada Cammy, daripada cahaya bulan yang menerangi bilik tersebut mereka mendapati yang Pyro tergantung pada kipas siling dan Smith diikat pada sebuah kerusi dengan sebilah pisau terbenam pada bahagian dadanya. Ivan mengambil pisau pada mayat Smith dan dengan dibantu oleh Udo & Rob, mayat Pyro berjaya diturunkan. Mayat Pyro & Smith ditinggalkan di bilik tersebut.

     Mereka terus berlegar-legar di dalam bangunan tersebut dan untuk memudahkan kerja untuk mencari jalan keluar, mereka dibahagikan kepada empat kumpulan. Kumpulan 1, Ying, Hoang & Cammy. Kumpulan 2, Udo, Ivan & Steve. Kumpulan 3, Chang, Rob & Sheena. Kumpulan 4, Oro & Chris. Kesemua kumpulan bergerak ke arah yang dibincangkan oleh mereka semua, kecuali Kumpulan 4 yang memilih untuk menjaga mayat Pyro & Smith. Kumpulan 1 ditugaskan untuk memeriksa bahagian kanan bangunan yang kelihatan seperti sebuah perpustakaan. Kesemua tingkap dipaku kemas dengan kayu tebal dan agak mustahil untuk mereka melarikan diri. Ying tiba-tiba hilang daripada pandangan Cammy & Hoang. Mereka menjerit-jerit memanggil Ying tapi tiada balasan, sehinggalah Hoang terpandang sekujur tubuh terbaring di atas sebuah meja. Apabila didekati, ianya adalah Ying yang sudah tidak bernyawa lagi dengan kesan kelaran pada leher. Tiba-tiba, Cammy ditarik ke belakang dan lehernya dijerut kuat dengan seutas dawai sehingga beliau didapati sudah tidak bernyawa lagi. Hoang cuba untuk membantu, tetapi beliau ternampak kelibat seseorang sedang meluru pantas ke arahnya dan terus merempuhnya. Hoang bangun dan cuba untuk melarikan diri, tetapi penyerang tersebut terus menikam bahagian belakangnya dengan batang besi.

     Tanpa mengetahui apa yang terjadi kepada Kumpulan 1, Kumpulan 2 dan 3 meneruskan pencarian mereka. Sementara itu, Kumpulan 4 memilih untuk membantu rakan-rakan mereka mencari jalan keluar. Mereka menuju ke sebelah kanan, melalui perpustakaan tadi, tetapi tidak tergerak untuk memeriksanya. Tiba-tiba Chris terdengar seperti ada sesuatu yang jatuh dibelakangnya. Sebaik sahaja beliau berpaling ke belakang, beliau dapati Oro kini sudah rebah menyembah bumi dan didapati sudah tidak berkepala lagi. Tanpa berfikir panjang, Chris terus melarikan diri sambil menjerit nama rakan-rakannya yang lain. Namun begitu, kaki Chris tersadung dan terus rebah. Beliau cuba untuk bangun tetapi gagal apabila seseorang telah menindih belakangnya. Chris bergelut dengan individu tersebut tetapi pergelutan tersebut tak lama apabila muncul seorang lagi dan menetak kepala Chris dengan sebilah kapak.

     Sheena yang sedang meninjau kawasan kafetaria seorang diri terkejut apabila bahunya ditepuk daripada arah belakang dan ianya adalah Steve. Sheena menyatakan yang Chang & Rob mengarahkannya untuk tinggal di kawasan kafetaria tersebut memandangkan kawasan tersebut agak terang sementara mereka berdua memeriksa kawasan yang lain. Steve pula, beliau ditinggalkan oleh Ivan dan Udo selepas mereka terdengar jeritan Chris. Beliau jauh ketinggalan di belakang sehingga beliau kehilangan jejak Ivan & Udo. Steve meninggalkan Sheena kerana beliau perlu mencari Udo & Ivan.

     Chang & Rob menemui Ivan terbaring di atas lantai dan beliau sudah tidak bernyawa lagi. Rob memeriksa keadaan mayat Ivan dan didapati yang Ivan telah ditikam pada bahagian perut. Chang tiba-tiba melarikan diri dan membuatkan Rob terkejut dengan tindakannya. Apabila Rob berpaling ke belakang, beliau terus dilibas dengan sebilah pedang dan kepalanya terus terpisah daripada badan. Sebaik sahaja mendapati kerjanya sudah selesai, individu misteri tersebut terus menuju ke arah Chang melarikan diri tadi.

     Chang tiba di kafetaria dan menceritakan kepada Sheena apa yang dilihatnya tadi. Kemudian, mereka disertai oleh Udo. Mereka bertiga kemudiannya ketawa bersama-sama sebelum Sheena mengeluarkan sepucuk pistol dan terus menembak Chang & Udo pada bahagian dahi. Steve tiba di tempat kejadian dan terus bertanyakan Sheena tentang apa yang dilihat olehnya. Sheena menyatakan yang beliau cuma melakukan apa yang sepatutnya dilakukan dan ianya adalah sumpahan Psycho Circus. Sheena mula menyebut nama rakan sekerjanya seorang demi seorang, dimulakan dengan Pyro, kemudiannya, Smith, Ying, Cammy, Hoang, Oro, Chris, Ivan, Rob, Chang & Udo. Sheena mengarahkan Steve supaya mengambil huruf pertama pada nama mereka dan meminta Steve untuk menyusunnya menjadi perkataan. Ianya berbunyi PSYCHO CIRCU.

     Sheena memberitahu Steve, sebab utama beliau diterima bekerja dengan Psycho Circus adalah kerana nama beliau bermula dengan huruf S, begitu juga dengan namanya. Sheena menunjukkan jalan keluar kepada Steve dan berkata, hanya seorang S sahaja yang boleh melangkah keluar dan seorang lagi harus melengkapkan PSYCHO CIRCU. Beliau berterima kasih kepada Chang & Udo kerana membantu beliau. Selain itu, beliau juga memberitahu Steve yang beliau ialah pemilik dan pengurus Psycho Circus. Belum sempat Steve berkata sesuatu, Sheena melepaskan tembakan tepat ke dahinya dan Steve menjadi pelengkap kepada korban PSYCHO CIRCUS.

     Beberapa tahun selepas itu, Psycho Circus kembali untuk menghiburkan peminat-peminat mereka. Seperti biasa, ianya kini diterajui oleh pekerja-pekerja baru. Kali ini tiba giliran Pete, Yulia, Casey, Samantha, Ozzy, Hope, Uther, Sally, Chuck, Roger, Suzan, Chase & Ingrid pula bekerja untuk Psycho Circus. Antara Sally, Suzan dan Samantha, salah seorang daripadanya adalah Sheena yang kini muncul dengan penampilan baru. Hanya Uther dan salah seorang daripada Casey, Chuck & Chase sahaja yang mengenalinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan