Isnin, 12 September 2011

Paradoks ( Entiti 8 - Roh )

     

     Faiz terpaksa melupakan hasratnya untuk menonton wayang bersama tunangnya, Emma, kerana dia terpaksa bekerja hingga lewat malam. Syarikat tempat dia bekerja baru sahaja menerima sebuah projek bernilai jutaan ringgit dan sebagai seorang pekerja yang cemerlang, Faiz dipertanggungjawabkan untuk menguruskan projek berkenaan. Ada beberapa dokumen yang perlu dibentangkan pada esok pagi.

     Faiz tekun menyiapkan kerjanya supaya dapat pulang awal untuk makan malam bersama Emma. Emma seolah-olah merajuk apabila Faiz mengatakan yang dia terpaksa membatalkan makan malam mereka. Tepat pukul 12 tengah malam, kerja-kerjanya selesai dan dia terus bergegas ke rumah Emma, yang kebetulan terletak berhampiran dengan tempat kerjanya. Semasa dalam perjalanan ke rumah Emma, Faiz sempat menelefon Emma.

     “Assalamualaikum... Sayang buat apa tu? Abang minta maaf sebab terpaksa batalkan program kita malam ni. Tapi sekarang ni baru pukul 12:15, apa kata kalau kita keluar makan kejap? Kita pergi makan dekat restoran yang baru buka semalam tu”.

     “Waalaikumussalam... Tengah baca novel. Dah lewatlah Abang, esok aje lah”.

     “Janganla macam tu Sayang, Abang dah ada kat depan rumah Sayang ni”.

     “Ok la, Abang tunggu kejap ye, Sayang nak bersiap kejap”.

     Faiz tersenyum lebar, nasib baik Emma bersetuju untuk keluar makan bersamanya. Kalau tidak, pasti dia akan terus dihantui rasa bersalah kerana telah mengecewakan tunangnya yang baru beberapa bulan berpindah ke rumah tersebut. Sebaik sahaja Emma memasuki kereta, mereka terus menuju ke restoran yang diperkatakan. Selepas menjamu selera & bercerita mengenai hari masing-masing, mereka pun pulang. Sepanjang perjalanan pulang, Emma dilihat menguap beberapa kali. Faiz mula rasa bersalah kerana mengajak tunangnya itu keluar pada lewat malam begini. Jam menunjukkan pukul 1:30 pagi, tidak hairanlah Emma mengantuk.

     Jalan yang dilalui begitu sunyi, hanya deruan enjin keretanya sahaja yang kedengaran. Sesekali mereka berselisih dengan kereta daripada arah bertentangan. Untuk menghilangkan kesunyian, Faiz memasang CD artis kegemarannya tapi audionya diperlahankan supaya tidak mengganggu Emma yang sedang tidur. Ketika sedang dibuai lagu kegemarannya, Faiz tiba-tiba terbau bau busuk seperti bau bangkai.

     Faiz segera menaikkan cermin kereta, mungkin ada bangkai binatang yang mati dilanggar di kawasan berhampiran. Namun begitu, bau tersebut masih ada, malah bau tersebut makin kuat. Faiz membetulkan pewangi keretanya. Tidak lama selepas itu, bau tersebut hilang dan Faiz kembali menurunkan cermin keretanya untuk menghirup udara malam. Sebaik sahaja sampai ke rumah Emma, dia mengejutkan Emma dan menghantar tunangnya itu terus ke muka pintu.

     Selepas itu, Faiz terus memecut laju untuk pulang ke rumahnya. Dia terus melayan perasaan sambil mendengar lagu-lagu kegemarannya diputarkan. Ketika melalui sebuah jalan kecil, dia ternampak seorang wanita menahan keretanya di tepi jalan. Wajah wanita itu sama seperti wajah Emma. Faiz ingin memberhentikan keretanya kerana berasa kasihan akan tunangnya tapi mana mungkin tunangnya itu berada di hadapannya sedangkan dia baru sahaja menghantarnya pulang. Dia membatalkan hasratnya.

     Dia terus memecut keretanya , wanita yang tadinya berdiri di tepi jalan kini mengilai panjang lalu berterbangan mengikuti keretanya dan terus menghapiri cermin hadapan keretanya. Faiz menggigil ketakutan, dia terus membacakan ayat-ayat Al-Quran untuk mengelakkan gangguan lembaga tersebut.

     Sebaik sahaja tiba di rumah, Faiz terus berlari masuk ke dalam biliknya dan terus berselubung dengan selimut sehinggalah dia tertidur. Keesokkan harinya, Faiz begitu lemah dan tidak begitu bersemangat untuk pergi bekerja. Faiz mengambil cuti sakit untuk berehat. Faiz menceritakan apa yang berlaku kepadanya malam tadi kepada ayahnya. Ayah Faiz mengatakan yang sudah ramai pemandu yang diganggu di kawasan tersebut. Kawasan tersebut agak keras kerana kerana seorang wanita pernah mati dibunuh satu ketika dahulu, semasa Faiz masih belajar di Australia. Ayah Faiz sendiri pernah melalui keadaan yang sama. Sejak hari itu, Faiz tidak lagi melalui kawasan tersebut, terutamanya pada lewat malam.

     Apa yang pasti, lembaga tersebut pasti akan menghantui pemandu-pemandu lain selepas ini. Mungkin giliran pula yang akan diganggu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan