Selasa, 13 September 2011

Paradoks ( Entiti 9 - Bunian )


    

      “Dik, jangan buka pintu tu. Tepat pukul tujuh malam setiap hari, pintu rumah kami akan ditutup, begitu juga dengan tingkap. Tak berani nak duduk kat luar rumah”, ujar Rohana yang sempat ditemui oleh Zaharah. “Sayangnya... permandangan kat sini cantik tapi tak pernah dinikmati”, getus hati Zaharah sambil mendukung anak kecilnya menghampiri Rohana.

     Malam itu, dia perlu segera menghabiskan perbualan dengan Rohana yang lebih selesa dipanggil Kak Ana. Peristiwa yang menimpa Kak Ana cukup menarik untuk dikongsi dengan pembaca akhbar terbitan syarikat tempatnya mencari rezeki. Malam itu juga, dia terpaksa membawa anak kecilnya bersama kerana tiada siapa yang boleh diharapkan untuk menjaganya pada masa itu. Suaminya juga perlu bekerja sehingga lewat malam. Lebih kurang pukul 12 tengah malam, Zaharah keluar daripada rumah Kak Ana, sebaik sahaja perbualan mereka selesai.

     “Kasihan Baby, kecil-kecil lagi dah kena ikut mama kerja. Sampai lewat malam pulak tu. Semoga Baby jadi anak yang berjaya bila dah besar nanti”, doanya setulus hati. Kereta yang dipandu tiba juga di perkarangan rumahnya. Zaharah melirik ke arah jam pada radio keretanya, beberapa minit lagi, pukul satu pagi. Jelingannya tidak terhenti di situ, entah mengapa matanya sempat terpandang seekor anjing hitam duduk berteleku betul-betul dekat sebelah pintu pagar rumahnya.

     “Peliknya, kawasan ni mana ada anjing liar. Kenapalah ada anjing dekat situ. Ini bukan anjing jiran sebelah. Dari mana datangnya anjing ni agak-agaknya,” Zaharah tertanya-tanya sendirian. Sejurus suaminya yang terlebih dahulu sampai di rumah membuka pintu pagar, lolongan anjing liar kedengaran bertalu-talu bersahutan. Tetapi anjing hitam yang dilihatnya itu tetap diam membatu. Matanya tidak sekalipun berpaling dari memandang keretanya yang menyusur masuk ke tempat letak kereta.

     Selesai meletakkan anak dia atas katil, Zaharah mengambil kesempatan untuk membersihkan diri. Hari itu merupakan hari yang paling meletihkan baginya. Kerjanya semakin banyak dan tidak putus-putus. Apa yang ada di dalam fikirannya sekarang, dia ingin berehat sepuas-puasnya.

     Dia menepuk-nepuk bantal dan merebahkan tubuhnya bersebelahan anak kecilnya itu. Fikirannya menerawang mengingati memori ketika di rumah Kak Ana. Belum sempat dia tertidur, tiba-tiba anak kecilnya menjerit sekuat hati. Jeritan itu bukan sahaja mengejutkan dirinya malah suami yang sedang berbaring di sebelah terus terjaga sebaik sahaja mendengar jerit tangis anak kecilnya itu. Zaharah segera mendukung si kecilnya. Lampu bilik dibuka semula.

     Zaharah memeriksa lampin anaknya, untuk memastikan tiada semut yang memasuki lampin tersebut. Tiada kelibat semut ditemui. Zaharah menyapu minyak telon pada tubuh anaknya namun tiada apa pun yang berlaku, anaknya tetap tidak berhenti menangis. Tangisannya semakin kuat.

     Suaminya mendukung anak kecil itu ke luar rumah, manalah tahu jika di dalam rumah panas dan mungkin menjadi sebab kepada anaknya menangis. Dia ke halaman rumah dan anak kecilnya terus berhenti menangis. Anaknya kini ketawa keriangan. Namun, tangannya tidak putus-putus menunjuk ke arah jalan raya. Menyangkakan anaknya sudah berhenti meragam, dia terus membawa anaknya masuk kembali ke dalam rumah. Sebaik melangkah masuk ke dalam rumah, anaknya menangis kembali. Dia terpaksa membawa anaknya ke luar rumah semula sehinggalah azan subuh berkumandang.

     Setibanya dia pejabat, Zaharah menceritakan kepada rakanya mengenai apa yang berlaku kepadanya malam semalam. Rakanya menyarankan supaya Zaharah berjumpa dengan Abang Kassim. Abang Kassim merupakan senior mereka di pejabat tersebut. Abang Kassim juga memiliki kemahiran untuk membantu mereka-mereka yang mempunyai masalah berkaitan dengan alam mistik.

     “Tempat yang kamu pergi semalam sebenarnya ada perkampungan bunian, dan anak kamu sudah pun didukung bergilir-gilir oleh makhluk bunian di situ”, kata Abang Kassim ketika Zaharah menemuinya pagi itu.

     “Salah seorang nenek yang ada di perkampungan itu pula terlalu sukakan anak kamu dan dia tak mahu lepaskan anak kamu. Yang sebenarnya anak kamu tu hanya jasadnya sahaja yang bersama dengan kamu, rohnya tertinggal di perkampungan bunian itu. Sebab itulah anak kamu meraung tak henti-henti”, tambah Abang Kassim lagi. Mendengar kata-kata Abang Kassim, bulu roma Zaharah mula meremang, dia mula rasa seram sejuk. Perkara itu dijelaskan kepada suaminya dan mereka mengambil cuti pada hari itu untuk mengubati anak mereka kerana bimbangkan keadaan anak mereka. Mereka tidak mahu kejadian malam semalam berlaku sekali lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan