Rabu, 10 Ogos 2011

Paradoks ( Entiti 3 - Asrama )


 Prolog

     Ada beberapa buah tempat di dalam dunia ini yang dikatakan dihuni oleh makhluk-makhluk halus, terutamanya hantu. Mereka seolah-olah bertindak sebagai penunggu di tempat-tempat tersebut. Tempat-tempat yang dimaksudkan ialah Hospital, Perpustakaan, Muzium & Asrama. Berikut merupakan cerita-cerita yang pernah diceritakan kepada saya sewaktu saya tinggal di asrama sekolah menengah satu ketika dahulu. Ianya merangkumi pengalaman rakan-rakan yang pernah terserempak dengan hantu & juga cerita yang disampaikan oleh para senior, dengan niat untuk menakutkan pelajar junior. Lebih-lebih lagi asrama tempat kitorang tinggal tu bangunan lama & terletak kat tepi pantai.

Kisah 1

     Menjadi kebiasaan Kamal untuk mencuci pakaian pada lewat malam, dengan alasan tiada gangguan daripada pelajar-pelajar lain. Seorang senior pernah menceritakan pengalamannya ditegur oleh sesuatu semasa mencuci pakaian pada lewat malam, namun cerita tersebut langsung tidak dipedulikan oleh Kamal. Lagipun katanya, bukan dia seorang sahaja yang masih aktif pada lewat malam, ada ramai lagi pelajar yang masih aktif pada waktu sebegitu. Ada yang masih mengulangkaji pelajaran & ada yang masih rancak berbual bersama-sama rakan sebilik.

     Jam menunjukkan pukul 2 pagi, Kamal tidak dapat melelapkan mata & sebaik sahaja dia ternampak baldi pakaian kotornya sudahpun penuh, dia memilih utk ke bilik mandi untuk mencuci pakaian. Segalanya berjalan seperti biasa, sehinggalah dia ditegur seseorang, “Cuci baju ke?”. “Taklah, tengah baiki basikal ni”, jawab Kamal. Namun bila dia berpaling untuk melihat orang yang menegurnya, tiada sesiapapun di situ. “Elok la tu, pagi-pagi dah ajak bergurau, lepas tu lari, pergi tidur la”, marah Kamal. Kamal meneruskan kerja nya.

     Tak lama selepas itu, kerja-kerja mencuci pun siap, tiba lah giliran untuk menyidainya di ampaian. Jarang ada yang berani ke kawasan ampaian pada waktu sebegitu kerana ianya terletak di hujung blok & dekat dengan kawasan pantai. Namun ianya perkara biasa untuk Kamal. Sekali lagi Kamal ditegur sewaktu dia sedang sibuk menyidai pakaian, “Kau marah aku ke tadi? Aku nak bergurau je, takkan tak boleh kot?”, “Kau tahu tak sekarang ni pukul berapa? Siapa-siapa pun akan marah kalau kena macam tu!”, marah Kamal. “Kau ni siapa sebenarnya? Nak cari pasal dengan aku ke?”, jerit Kamal sambil berpaling ke arah orang yang menegurnya itu. Kamal tiba-tiba kaku & tidak mampu untuk berkata apa-apa kerana orang yang menegurnya itu rupa-rupanya satu lembaga besar yang tubuhnya berbulu lebat. Mata Kamal kini bertentangan dengan mata lembaga tersebut, tapi Kamal tidak dapat berbuat apa-apa selain daripada hanya mampu melihat lembaga itu terus mendekatinya.

     Keesokkan harinya, Kamal ditemui tidak sedarkan diri di kawasan ampaian. Sebaik sahaja sedar, Kamal terus menceritakan kejadian tersebut kepada rakan-rakannya. Seorang rakan sebilik Kamal mencelah, “Aku dah pernah jumpa dia tu dulu, tapi aku saja je tak nak cerita kat orang. Nnt orang cakap aku saja reka cerita.” Sejak daripada hari itu Kamal tidak lagi mencuci pakaian pada lewat malam kerana bimbang akan terserempak sekali lagi dengan lembaga tersebut.

Kisah 2

     Suatu masa dulu heboh diperkatakan yang penghuni asrama pelajar perempuan terserempak dengan kepala tak bertubuh. Kepala tersebut selalunya hanya berterbangan di kawasan blok tengah sahaja, seolah-olah mencari sesuatu. Berdasarkan apa yang pernah diceritakan oleh seorang pelajar senior, ada seorang pelajar perempuan telah putus kepala akibat daripada terkena kipas.

     Katanya lagi, pelajar tersebut tidur di tingkat atas katil 2 tingkat, pada malam tu, dia terjaga daripada tidur & terus berdiri di atas katilnya. Nasibnya kurang baik kerana pada hari itu, katilnya diletak betul-betul di bawah kipas. Sebaik sahaja dia bangun untuk berdiri, kepalanya putus dilibas kipas siling dan terus jatuh ke atas tubuh seorang rakan sebiliknya. Rakan sebiliknya tersedar & terus menjerit sehingga menggamatkan kawasan asrama tersebut.

     Ada pendapat yang mengatakan kepala tersebut mencari tubuhnya & ada juga yang mengatakan yang ianya mencari orang yang bertanggungjawab meletakkan katilnya betul-betul di bawah kipas pada hari tersebut.

Kisah 3

     Di asrama pelajar lelaki, ada sebuah blok yang tidak digunakan & lokasinya memang strategik kerana terletak di antara 2 buah blok yang berpenghuni. Untuk penghuni blok A, tiada masalah untuk mereka kerana mereka tidak perlu melalui blok tersebut, tapi lain pula dengan penghuni blok C. Mereka terpaksa melalui blok tersebut, iaitu blok B setiap hari. Ada beberapa cerita yang mengatakan mereka pernah terserempak dengan sesuatu sewaktu melalui blok tersebut, lebih-lebih lagi bila ada sebuah bilik sahaja di blok tersebut yang digunakan, itupun sebagai tempat belajar.

     Ada yang menceritakan yang mereka pernah nampak ada lembaga duduk di atas tangga blok tersebut. Ada juga yang pernah terdengar suara orang dari blok tersebut. Disebelah blok tersebut ada sebuah perigi yang sudah tidak digunakan lagi, ianya sentiasa ditutup. Seorang senior pernah menceritakan yang tak lama dulu pernah ada orang terjatuh ke dalam perigi tersebut & selepas itulah perigi itu tidak digunakan lagi.

     Selepas tiga tahun saya berada di asrama tersebut, blok B akhirnya dibuka semula untuk menampung jumlah penghuni yang semakin bertambah. Tiada cerita-cerita pelik yang didengari kecuali ada seorang pelajar diserang histeria beberapa kali sewaktu tinggal di blok tersebut.

Kisah 4

     Semasa mula-mula menjejakkan kaki di asrama, pelajar-pelajar junior diingatkan untuk tidak bergerak bersendirian selepas pukul 1 pagi, kerana bimbang ada perkara-perkara yang tak baik berlaku. Jika ingin ke tandas, mereka dinasihatkan untuk pergi bersama-sama dengan rakan. Saya sendiri pun, selama lima tahun berada di asrama tersebut, jika terjaga daripada tidur & ingin ke tandas pada pukul 2-5 pagi, saya akan mengajak rakan sebelah untuk menemani saya, tapi tidaklah selalu. Ramai yang berbuat sedemikian. Soal penakut atau berani bukanlah isunya di sini, tapi ianya sebagai langkah berjaga-jaga, kerana ada juga ancaman daripada pihak lain. Asrama kami selalu diceroboh oleh orang luar & mereka selalunya datang untuk mencuri.

     Ingatan tersebut diberikan kerana beberapa tahun sebelum kemasukkan kami ke asrama tersebut, ramai penghuni pernah terserempak dengan lembaga misteri yang sentiasa merayau-rayau di kawasan koridor.

Kisah 5

     Cerita mengenai hantu askar Jepun turut diceritakan kepada saya & rakan-rakan yang lain. Ada yang menceritakan mereka pernah terdengar ada orang berkawad di atas gelanggang sepak takraw & koridor asrama. Seorang senior pernah menceritakan pengalamannya ternampak hantu askar Jepun sedang berkawad di atas padang sekolah. Keadaan mereka cukup menyedihkan, ada yang berkawad sambil memegang kepala & ada yang tidak cukup sifat fizikalnya.

Kisah 6

     Di blok C, ada sebuah bilik yang dikatakan sebagai bilik yang cukup keras. Bilik tersebut terletak di hujung blok & lebih dikenali sebagai bilik hukuman. Penghuni-penghuni yang tidak berdisiplin akan diletakkan di bilik tersebut selama beberapa bulan, bersendirian. Bayangkanlah jika anda terpaksa tinggal bersendirian di dalam bilik yang besar, bilik yang penuh dengan katil & almari, tp hanya satu sahaja yang digunakan setiap satu, iaitu katil & almari anda sendiri.

     Setiap hari anda akan nampak katil-katil kosong. Pada waktu siang, ianya nampak biasa, tapi bagaimana pula dengan waktu malam? Seingat saya, hanya ada seorang sahaja yang pernah ditempatkan di bilik tersebut sebelum ianya dibuka semula utk dihuni oleh orang lain. Apa yang berlaku di bilik tersebut tidak pernah diceritakan oleh penghuni tersebut kerana dia memilih untuk mendiamkan diri. Namun, apa yang dapat diperhatikan, dia memang banyak berubah selepas itu.

Epilog

     Ini adalah antara cerita-cerita yang boleh saya kongsikan. Tp cerita yang masih saya tak dapat lupakan sampai sekarang, ialah cerita mengenai kepala tak bertubuh. Ada 3 versi yang saya dengar mengenai cerita ini. Versi 1, kepala tersebut tercampak keluar & tidak berjaya ditemui. Versi 2, kepala tersebut jatuh ke dalam baldi. Versi 3, seperti yang saya ceritakan di atas. Mungkin ada lagi cerita-cerita yang tidak diceritakan kepada kami & dirahsiakan sampai sekarang. Kisah 1 betul-betul terjadi kepada kawan saya, tapi namanya terpaksa dirahsiakan. Jadi, nasihat saya kepada mereka-mereka yang ingin tinggal di asrama, rajin-rajinlah bertanya kepada senior anda mengenai cerita-cerita sebegini. Tapi ada cerita yang tidak boleh diceritakan & kekal sebagai rahsia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan