Sabtu, 20 Ogos 2011

Paradoks ( Entiti 7 - Rempit )

     
     Sebut sahaja nama Man Champion, semua orang kenal. Man Champion merupakan seorang mat rempit yang cukup disegani oleh mat-mat rempit lain kerana reputasinya dalam arena lumba haram cukup mengagumkan. Dia belum pernah tewas kepada para pencabarnya. Tak cukup dengan mat-mat rempit dikampungnya, Man Champion juga pernah mengalahkan beberapa orang mat rempit yang memiliki reputasi yang sama sepertinya di kampung-kampung bersebelahan.

     Dalam ramai-ramai mat rempit yang pernah ditewaskan oleh Man Champion, ada seorang yang betul-betul menyimpan dendam terhadapnya, Sabri Kucing. Tak lama dahulu, Sabri Kucing terpaksa mengorbankan kekasihnya kepada Man Champion kerana tewas dalam perlumbaan. Lebih malang lagi sejak daripada hari itu, rakan-rakannya sudah tidak lagi mahu bersamanya, mereka lebih suka menjadi pengikut Man Champion. Tetapi ada beberapa orang yang setia bersamanya, Kamil & Zaidi. Mereka bertiga sentiasa mengikuti perlumbaan yang melibatkan Man Champion, mungkin juga sedang merancang sesuatu.

     Satu perlumbaan akan diadakan pada malam esok, bertempat di jalan lama kampung tersebut. Sabri Kucing memilih untuk turut sama berlumba dalam perlumbaan tersebut. Namun begitu, niatnya bukan untuk mendapatkan kemenangan, tetapi untuk membalas dendam ke atas Man Champion. Dia mengarahkan Kamil & Zaidi untuk memasang perangkap di sebuah kawasan yang akan menjadi laluan para pelumba. Perangkap tersebut akan dipasang pada malam perlumbaan untuk mengelakkan daripada terkena mangsa yang lain. Kamil & Zaidi hanya menuruti arahan Sabri Kucing kerana mereka akan diberikan ganjaran sekiranya rancangan tersebut berjaya.

     Malam yang ditunggu telah tiba, hanya 5 orang sahaja yang akan berlumba pada malam tersebut. Penyertaan Man Champion sedikit sebanyak menggoyahkan semangat pelumba-pelumba yang lain untuk menyertai perlumbaan tersebut. Sementara itu, Kamil & Zaidi awal-awal lagi telah tiba di kawasan pilihan mereka untuk memasang perangkap. Sebaik sahaja para pelumba sudah bersedia, perlumbaan dimulakan. Man Champion & Sabri Kucing terus memecut laju meninggalkan 3 orang pelumba yang lain. Persaingan yang cukup sengit ditunjukkan oleh mereka berdua.

     Sabri Kucing mula memperlahankan motosikalnya sebaik sahaja mereka mula menghampiri kawasan yang dipasang perangkap oleh Kamil & Zaidi. Man Champion yang kehairan mula memaki hamun Sabri Kucing. Pelbagai kata-kata kesat dihamburkan kepada Sabri Kucing. Jarak mereka berdua semakin jauh. Sebaik sahaja melalui kawasan yang dipasang perangkap oleh Kamil & Zaidi, Man Champion secara tiba-tiba terdiam. Dia baru sahaja melalui kawasan yang direntangi dawai halus oleh Kamil & Zaidi. Darah mula membasahi bajunya sebelum kepalanya jatuh ke dalam raga motosikal. Motosikal tersebut terus merempuh kawasan semak.

     Dawai halus yang diikat pada dua batang pokok, merentangi jalan tersebut telah memisahkan kepala Man Champion daripada tubuhnya. Sabri Kucing melalui kawasan tersebut & mengarahkan Kamil & Zaidi utk memotong dawai tersebut untuk mengelakkan diketahui oleh orang lain. Sabri Kucing terus memecut laju motosikalnya ke garisan penamat. Buat pertama kalinya, seseorang telah berjaya menewaskan Man Champion. Salah seorang pelumba tiba di garisan penamat dan memberitahu mengenai keadaan Man Champion. Mereka semua terus melarikan diri daripada kawasan tersebut tanpa menghiraukan Man Champion.

     2 hari kemudian, mayat Man Champion ditemui. Jenazah Man Champion dihantar ke hospital berdekatan untuk dibedah siasat sebelum dikembalikan kepada keluarganya untuk urusan pengkebumian. Jenazah Man Champion selamat dikebumikan selepas disembahyangkan di surau kampung tersebut.

     Motosikal arwah Man Champion hanya mengalami kerosakkan pada bahagian hadapan & ayahnya, Pak Salleh memilih untuk menghantarnya ke bengkel berdekatan untuk dibaiki. Sebaik sahaja siap dibaiki, motosikal tersebut diletakkan di bawah rumah. Pada satu malam, Pak Salleh terdengar bunyi motosikal yang cukup kuat, seolah-olah berada di bawah rumahnya. Bunyi motosikal tersebut makin perlahan sehingga tidak kedengaran lagi. Keesokkan harinya, Pak Salleh mendapatinya motosikal arwah anaknya tiada di bawah rumah.

     Tak lama selepas itu, Mamat, kawan baik arwah menghantar motosikal tersebut ke rumah Pak Salleh. Menurut kata Mamat, dia menjumpai motosikal arwah di tempat mereka biasanya berkumpul sebelum berlumba pada setiap malam minggu. “Kat mana kau jumpa motor ni Mamat?”, tanya Pak Salleh. “Kat simpang sana, tempat biasa kitorang.”, jawab Mamat. “Kau tahu tak siapa yang pakai motor ni semalam?”, tanya Pak Salleh kepada Mamat. “Saya dah tanya kawan-kawan saya tadi, takde siapa pun yang keluar semalam, diorang ada kat rumah je”, jawab Mamat. Mamat membonceng motosikal kawannya & terus meninggalkan Pak Salleh yang penuh kehairanan.

     Pak Salleh memilih untuk tidak tidur pada malam itu, dia inginkan kepastian, siapa yang mengambil motosikal arwah anaknya. Lebih kurang pukul 1 pagi, kedengaran enjin motosikal dihidupkan. Pak Salleh terus keluar untuk mendapatkan jawapan. Dia cukup terkejut apabila melihat tiada siapa pun di atas motosikal tersebut di saat motosikal tersebut meninggalkan kawasan rumahnya. Pak Salleh terus menelefon Mamat untuk mendapatkan bantuan. Sebaik sahaja Mamat sampai, Pak Salleh terus meminta Mamat untuk membawanya ke tempat Mamat menjumpai motosikal tersebut semalam. Mereka disertai oleh dua orang lagi rakan kepada arwah, Din & Juki.

     Seperti yang diduga, motosikal tersebut berada di tempat arwah dan rakan-rakannya berkumpul setiap malam minggu. Din menolak motosikal tersebut ke rumah Pak Salleh. Pak Salleh meminta mereka untuk merahsiakan perkara tersebut. Esoknya, Pak Salleh menghubungi rakannya, Pak Abu. Pak Abu tiba dengan beberapa orang pekerjanya. Pak Salleh meminta Pak Abu untuk menghantar motosikal arwah anaknya ke kedai menjual motosikal. Pak Salleh mengekori lori Pak Abu daripada belakang. Sebaik sahaja sampai di kedai menjual motosikal, Pak Salleh terus menemui pemilik kedai & menyampaikan hasratnya untuk menjual motosikal tersebut.

     Pemilik kedai tersebut terkejut apabila Pak Salleh ingin menjualkan motosikal tersebut dengan harga yang cukup murah. Pak Salleh terpaksa membawa pulang semula motosikal arwah anaknya kerana pemilik kedai motosikal tersebut enggan menerima motosikal tersebut, kerana mencurigai niat Pak Salleh yang sanggup untuk menjual motosikal tersebut dengan harga yang cukup murah. Motosikal tersebut diletakkan di bawah rumah seperti biasa. Petang itu, satu kemalangan ngeri telah berlaku di kampung tersebut. Sabri Kucing dirempuh oleh sebuah lori pasir sewaktu sedang berlumba dengan beberapa orang pelumba lain. Dia mati di tempat kejadian kerana cedera parah di bahagian kepala. Kamil & Zaidi tidak lagi tinggal di kampung tersebut, selepas kejadiaan yang meragut nyawa Man Champion, mereka meilih untuk berhijrah ke bandar.

     Malam itu, Pak Salleh terdengar bunyi motosikal arwah anaknya. Kali ini dibiarkan sahaja. Pak Salleh sudah tidak mahu ambil tahu lagi mengenai motosikal arwah anaknya itu. Pak Salleh juga telah berpesan kepada Mamat dan rakan-rakan arwah anaknya yang lain supaya membiarkan sahaja motosikal arwah anaknya di tempat ianya dijumpai. Kata Pak Salleh, “tempat motor tu bukan kat rumah ni, tapi kat tempat tuannya selalu ada”. Sejak hari itu, motosikal arwah Man Champion tidak lagi kelihatan. Ada yang mengatakan ianya telah dicuri & ada juga yang mengatakan yang ianya telah di ambil oleh Man Champion...

1 ulasan:

  1. ok...meremang jgak bulu roma... tmbh2..mata pompuan kat sebelah ni wrna merah..damm

    BalasPadam