Rabu, 10 Ogos 2011

Paradoks ( Entiti 4 - Dimensi )

     
     Setiap hari ada saja lontaran maki hamun daripada Jamal kepada ibu & ayahnya. Dulu, Jamal seorang budak yang baik, tapi berubah menjadi seorang yang panas baran sejak berkenalan dengan sekumpulan samseng. Mereka jugalah yang memperkenalkan Jamal kepada sejenis pil yang mampu memberikan “ketenangan” kepada orang yang memakannya. Untuk mendapatkannya, Jamal perlu membayar RM200 kepada mereka setiap hari.

     Ketagihan menyebabkan Jamal sanggup menjadi seorang peragut & sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan wang. Hidupnya tidak sempurna tanpa pil tersebut. Jamal juga sudah mula bertindak kejam kerana sanggup memukul ibunya jika tidak diberikan wang. Ayahnya tidak mampu berbuat apa-apa memandangkan tahap kesihatannya yang tidak begitu baik. Puas ibu & bapanya memberikannya nasihat, namun tidak diendahkan olehnya. Pada suatu hari, Jamal memaki ibu bapanya. Dia mengatakan yang dia menyesal kerana dilahirkan di dalam keluarga tersebut & berharap agar semua perkara yang melibatkan dirinya tidak pernah wujud kerana dia ingin menjadi seseorang yg bebas. Jamal melarikan diri daripada rumah & menumpang tidur di rumah sewa rakan-rakannya.

     Keesokkan harinya, Jamal cukup hairan kerana dia tidak berada di rumah sewa rakan-rakannya, sebaliknya, dia kini berada di sebuah lorong kecil. Tiada kelibat sesiapa pun di situ. Jamal merasakan yang rakan-rakannya cuba untuk bergurau dengannya, lalu dilaung nama rakan-rakannya seorang demi seorang. Tiada balasan. Jamal memilih untuk ke bahagian depan bangunan. Semua kedai dibuka seperti biasa, tapi tiada seorang pun manusia di situ, hanya Jamal seorang. Jamal cuba mendapatkan kepastian. Kedai demi kedai dimasukinya & dalam masa itu jugalah, Jamal sempat mencuri wang yang berada di dalam mesin tunai setiap kedai.

     Jamal memilih untuk ke blok lain pula & keadaannya sama seperti blok yang sebelumnya. Selepas melepasi 3 buah blok, Jamal ternampak kelibat seorang manusia. Jamal terus berlari untuk mendapatkannya. “Mana semua orang?”, tanya Jamal. Sebaik sahaja orang itu berpaling, dimukanya hanya terdapat mulut sahaja. Jamal yang ketakutan terus melarikan diri & makhluk itu mengejarnya dari belakang. “Inikan siang, takkan hantu kot?”, bisik Jamal. Makhluk itu terus mengejar Jamal & akhirnya berjaya menerkam Jamal. Jamal kuat orangnya, dia menumbuk-numbuk muka makhluk tersebut sehingga gengamannya terlepas daripada kolar baju Jamal. Muka makhluk tersebut dipenuhi darah & sudah tidak bergerak lagi. “Sah bukan hantu, mana ada hantu yang boleh dibelasah dengan tangan kosong”, getus Jamal.

     Jamal terus meninggalkan kawasan tersebut. Bajunya kini dikotori dengan darah makhluk tersebut. Sebaik sahaja sampai ke blok yang paling hujung, Jamal dapat merasakan yang ada sesuatu mengekorinya. Sebaik sahaja dia berpaling ke belakang, dilihatnya seekor anjing besar sedang mengekorinya. Darah makhluk tadi yang melekat pada baju Jamal telah menarik perhatian anjing tersebut. Jamal menanggalkan bajunya dan melontarkannya kepada anjing tersebut & dia terus melarikan diri. Anjing tersebut langsung tidak berminat kepada darah yang terdapat pada baju Jamal, sebaliknya ia terus mengejar Jamal. Jamal terus berlari ke sebuah lorong, tempat biasa untuk dia dan rakan-rakannya menyimpan senjata untuk merompak. Sebaik sahaja sampai ke kawasan tersebut, Jamal hanya sempat untuk mencapai sebatang kayu besbol dan terus melibas ka arah anjing yang mengejarnya. Libasannya tepat mengenai kepala anjing tersebut, namun tidak berjaya untuk merebahkan anjing tersebut & terus menerkam ke arah Jamal.

     Terkamannya berjaya menjatuhkan Jamal & ia terus menggigit lengan kiri Jamal. Jamal yang kesakitan cuba untuk mencapai sesuatu. Dia berjaya mendapatkan botol kaca & terus menghentak kepala anjing tersebut & terus melepaskan gigitannya. Jamal mengambil semula kayu besbol tadi & terus memukul anjing tersebut sehingga mati. Kecederaan pada tangan kirinnya sedikit sebanyak membataskan pergerakkannya. Dia kini lemah. Beberapa meter daripada tempat kejadian, Jamal menemui sebuah motosikal. Jamal cuba menghidupkannya & nasibnya agak baik kerana motosikal tersebut masih boleh digunakan.

     Jamal memilih untuk ke tempat lain pula. Sebaik sahaja sampai ke Pusat Bandar, Jamal cukup terkejut kerana kawasan tersebut dipenuhi dengan sampah seolah-olah sudah tidak berpenghuni lagi. Jamal memilih untuk meneruskan perjalanan. Dia terdengar bunyi bising daripada tingkat dua sebuah bangunan. Ianya seperti tangisan seorang kanak-kanak. Jamal terus bergegas ke bangunan tersebut. Telahannya benar apabila terdapat seorang kanak-kanak perempuan diikat pada sebatang besi. Jamal terus meleraikan tali yang membelit kanak-kanak tersebut. Sebaik sahaja dilepaskan, kanak-kanak tersebut terus melarikan diri. Jamal cuba untuk mengejar tetapi langkahnya semakin perlahan apabila terlihat perubahan fizikal kanak-kanak tersebut.

     Kanak-kanak tersebut berhenti dah berpaling ke arah Jamal. Dia bukan lagi seorang kanak-kanak perempuan, sebaliknya dia kini sama seperti makhluk yg dibunuh oleh Jamal sebelum ini. Jamal terus mendapatkan motosikal dan terus melarikan diri daripada kawasan tersebut, dia tidak sanggup untuk berlawan sekali lagi dengan makhluk seperti itu. Lebih2 lagi kesan gigitan pada lengan kirinya mula melemahkan tubuhnya. Jamal mendongak ke langit, langit kini dipenuhi dengan burung gagak yang saiznya berkali-kali ganda besarnya daripada burung gagak biasa & Jamal terus memecut motosikalnya.

     Jamal kini sudah jauh meninggalkan kawasan bandar. Dia kini berada di sebuah perkampungan nelayan. Keadaannya sama sahaja, tiada kelibat manusia yang dapat dilihat. Dia memilih untuk berehat di sebuah wakaf memandangkan hari sudah senja. Jamal akhirnya terlelap kerana keletihan. Tidak lama selepas itu, Jamal merasakan yang ada seseorang sedang mendekatinya & terus bangkit untuk memastikannya. Jamal ternampak kelibat seorang lelaki bongkok sedang menuju ke arahnya. Jamal terus melarikan diri ke arah pantai apabila lelaki tersebut semakin dekat dengannya.

     Jamal ke dalam laut & terus berenang. Penglihatannya semakin kabur, nafasnya semakin susut & tubuhnya semakin lemah. Dia kini sudah tidak mampu untuk bergerak & akhirnya tenggelam ke dasar laut....

Keesokkan harinya, orang kampung mula memenuhi kawasan pantai kerana seorang kanak-kanak telah menjumpai mayat seorang lelaki terdampar di gigi pantai. Kelihatan seorang anggota polis sedang mendapatkan keterangan daripada seorang lelaki tua. “Budak ni la yang pakcik jumpa semalam, pakcik nampak dia tidur kt wakaf sana tu, pakcik cuba la nak ajak dia ke surau, tp dia terus lari masuk ke dalam laut, pakcik biar aje la, mungkin dia ni orang gila kot. Lagipun waktu solat Maghrib dah masuk masa tu”, jelas pakcik tua tersebut kepada anggota polis dihadapannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan